suria

Culik remaja, minta tebusan RM2 juta: Wanita 50-an suspek ketujuh ditahan bantu siasatan

Polis menahan suspek ketujuh dipercayai mempunyai kaitan dengan kes culik seorang remaja perempuan di Seremban. -Gambar hiasan

POLIS menahan seorang lagi individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes culik remaja perempuan di Seremban, bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, suspek yang merupakan seorang wanita berusia 50-an direman selama 14 hari selepas permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis.

Tambahnya, wanita tersebut ditahan di Cheras, Kuala Lumpur pada pukul 12.55 tengah hari Rabu.

"Suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes culik remaja: Suspek ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan

Pada Isnin lalu, media melaporkan seramai enam individu berusia 20 hingga 31 tahun direman bermula 14 April hingga 27 April bagi membantu siasatan kes culik itu.

Penahanan terbaharu wanita tersebut menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan adalah seramai tujuh orang.

Dalam kejadian pada awal pagi Isnin itu, seorang daripada suspek maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa diculik pada pukul 5.45 petang, 10 April lalu.

Kumpulan penculik dikatakan meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta, tetapi keluarga mangsa membayar RM280,000 bersama sejumlah barang kemas.

Mangsa bagaimanapun dibebaskan di Sendayan kira-kira pukul 8.30 malam pada 11 April. 

 

Artikel Lain