suria

[V] Rezeki pengantin baharu! Sultan Pahang singgah sesi ‘photoshoot’, Tunku Azizah puji busana lawa... Siap hulur sampul kuning

Pengantin baharu teruja dapat bergambar kenangan bersama Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang.

REZEKI yang tak disangka-sangka!

Demikian kata pengantin baharu, Shah Amirul, 24, yang meluahkan rasa teruja apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara spontan singgah ke sesi 'photoshoot' perkahwinannya [Tonton Video] berdekatan Istana Sri Udara, Temerloh pada Sabtu.

Menurut pemuda yang mesra disapa Shah itu, dia dan isterinya, Rosyamimie, 24, sama sekali tidak menyangka berpeluang bertemu dengan pasangan diraja itu ketika sedang melakukan sesi 'photoshoot outdoor' di luar kawasan istana.

Pasangan ini mula berkenalan kira-kira tiga tahun lalu.

"Kami akad nikah Jumaat. Sabtu pula bersanding. Pagi sebelum bersanding, kami keluar 'photoshoot' sebab takut hujan belah petang. Kami ke kawasan depan istana, di situ ada menara jam. 

"Masa kereta Tuanku Sultan lalu, kami lambai-lambai dan saya pelawa untuk bergambar. Tak sangka Tuanku kata boleh. Dalam pertemuan itu, kami menerima hadiah sampul berisi duit.

"Sewaktu bergambar, Tuanku tanya kami orang mana? Saya kata saya orang Mentakab, isteri dari Temerloh. Lepas tu, Tengku Ampuan Pahang puji baju isteri saya cantik, siap tanya buat di mana?

  • Pasangan pengantin baharu ambil peluang bergambar di hadapan Istana Sri Udara, Temerloh.
  • Tanpa disangka-sangka, kenderaan membawa Sultan Pahang melintasi kawasan 'photoshoot' itu.
  • Pengantin teruja dapat bergambar kenangan dengan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang.
  • Foto mereka turut tular di media sosial sehingga pasangan itu dihujani ucapan tahniah.

"Masa tu Tuanku luangkan masa dalam lima ke 10 minit juga. Saya memang tak sangka akan jadi raja sehari dan dapat jumpa raja yang sebenar," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Perkongsian foto dan video pertemuan itu turut tular di media sosial sehingga pasangan berkenaan dihujani dengan ucapan tahniah daripada netizen.

"Rasa macam wedding of the year. Seharian saya gembira walaupun penat. Malam tu pun saya tidur lambat. Saya tak dapat tidur dengan lena. 

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Azizah umum ‘back to school’, netizen sempat bergurau jangan hantar ‘assignment’ saat akhir

ARTIKEL BERKAITAN: “Fuyuuuuuuuu...” - Sweet! Tunku Azizah kongsi aksi kandid dengan Agong

"Terima kasih juga kepada semua yang ucap tahniah dan doakan kami di media sosial walaupun kita saling tak mengenali," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Shah berkata dia dan isterinya mula berkenalan tiga tahun lalu ketika mereka sama-sama menuntut di Kolej Komuniti Temerloh.

Pasangan itu kini sama-sama mengusahakan sebuah kedai pakaian terpakai di Paya Pulai, Temerloh.

 

Artikel Lain