suria

Ibu nazak di wad, adik beradik sibuk geledah satu rumah! Semua barang kemas lesap, seorang pun tak mengaku ambil

Anak-anak perlu jujur dan adil dalam menentukan pembahagian harta pusaka. -Gambar hiasan AI

KEHILANGAN ibu tersayang merupakan detik paling perit dalam hidup setiap individu tetapi lebih pedih apabila saat-saat akhir kematiannya menyaksikan adik-beradik lain sibuk berebut harta.

Itulah luahan seorang lelaki apabila mendakwa adik-beradiknya sanggup menggeledah rumah ibu mereka yang sedang nazak di hospital, semata-mata untuk mencari barang-barang kemas dan perhiasan milik wanita itu.

Menerusi perkongsian di Threads, lelaki itu meluahkan rasa terkilan dengan sikap adik beradik yang sepatutnya berkumpul ketika ibu sedang bertarung nyawa menggunakan mesin bantuan pernafasan tetapi berlaku situasi sebaliknya.

"Kami patutnya berkumpul untuk berdoa sambil pegang tangan mak, bisik kalimah terakhir tapi di rumah ada ahli keluarga yang sibuk lain macam. Mereka bukan kemas rumah untuk sambut mak balik.

Setiap anak perlu bertanggungjawab menjaga ibu bapa yang sakit. -Gambar hiasan AI

"Bukan susun barang untuk jaga mak lepas keluar hospital tapi punggah rumah. Laci dibuka satu-satu, almari diterbalikkan untuk cari barang perhiasan, emas yang mak simpan sikit demi sikit sepanjang hidup.

"Emas mak pakai masa kenduri, anak kahwin, hari raya... perhiasan yang mak pakai di hospital pula ditanggalkan atas alasan 'rawatan' lepas tu kata hilang. Tercicir katanya," ujar lelaki itu.

Lebih membuatkan dia sedih saat melihat rumah ibunya menjadi paling berselerak, bukan selepas pemergian wanita itu tetapi ketika dia masih hidup dan sedang bertarung dengan sakaratul maut.

“Bila harta jadi matlamat hidup, keberkatan tak lagi penting. Kasih sayang boleh diketepikan. Adab pun boleh digadai,” katanya.

Lelaki itu mendakwa, dia mengetahui siapa yang mengambil perhiasan tersebut yang dikatakan hilang namun memilih untuk berdiam diri demi menjaga ketenangan ibunya pada saat-saat akhir kehidupannya di dunia ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami guna duit bonus beli 'handphone' adik, isteri mengalah lupakan cincin idaman... Tapi hati meronta, jiwa tak tenang

ARTIKEL BERKAITAN: Sorok barang kemas RM150,000 bawah tilam hotel, wanita cemas tengok keadaan bilik lepas seharian keluar jalan-jalan

"Yang tinggal cuma satu soalan dalam kepala... kalau mak tahu, apa yang akan lebih sakit. Penyakit yang dia tanggung atau perangai anak-anak sendiri? Aku tahu siapa yang ambil barang kemas.

"Aku tahu tangan siapa yang menyelongkar, simpan dan pura-pura tak tahu. Tapi dalam keadaan sekarang apa aku boleh buat? Mak tengah berjuang untuk teruskan hidup. 

"Aku tak sanggup jadikan saat akhir hidup mak sebagai medan pertelingkahan harta. Masing-masing menafikan dan bersumpah tak tahu. Tak apalah Allah tahu," katanya lagi.

Menurutnya, dia percaya bahawa setiap perbuatan akan dibalas walaupun masing-masing tidak mengaku mengambil barang kemas tersebut dan menganggapnya hilang.

  • Seorang lelaki kecewa adik-beradik punggah rumah ketika ibu tenat.
  • Barang kemas dan emas simpanan ibu hilang.
  • Rumah jadi berselerak sebelum ibu meninggal dunia.
  • Lelaki ini tahu siapa terlibat tetapi memilih berdiam diri.
  • Dia lepaskan hak sendiri demi ketenangan ibu dan keberkatan hidup.

Lelaki itu berkata, dia memilih untuk melepaskan hak tersebut bukan kerana lemah, sebaliknya demi memastikan ibunya pergi dalam keadaan tenang tanpa dicemari pertelingkahan dan dendam.

"Kalau betul itu hak yang bukan milik dia, biar hidupnya di dunia tak pernah rasa tenang dan di akhirat nanti, biar setiap gram emas itu jadi saksi, bukan perhiasan. 

"Mas kawin mak simpan turut lesap. Aku lepaskan bukan sebab aku lemah, tapi sebab aku nak mak pergi dengan tenang. Tanpa tangisan yang bercampur dendam.

"Tanpa doa yang tercemar amarah. Cukuplah kehilangan mak. Aku tak mahu kehilangan keberkatan hidup sendiri. Al-fatihah buat mak," katanya lagi.

Artikel Lain