suria

Nama dikaitkan dengan laporan polis kes jenayah seksual, Haqiem Stopa dakwa ada cubaan sabotaj - “Tak steady la”

Haqiem tidak dapat memberi jawapan balas kepada akaun tersebut kerana disekat.

MEDIA sosial kecoh dengan satu hantaran yang memuat naik salinan laporan polis mengaitkan nama seorang influencer popular dengan dakwaan kes jenayah seksual.

Pada laporan polis tersebut, turut dikepilkan bersama kad pesakit luar berwarna kuning dari sebuah hospital.

Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen selepas nama Muhamad Sadzri Hakim Jaafar yang tertera pada laporan berkenaan didakwa mirip dengan nama sebenar pempengaruh Haqiem Stopa.

Kepada mStar, Haqiem, 26, menjelaskan dia tidak mengetahui mengenai hantaran tersebut kerana akaun itu didakwa menggunakan identiti palsu selain telah menyekat akaun Threads miliknya.

Haqiem memberi respon terhadap dakwaan yang mengaitkan namanya dengan satu laporan polis dibuat.

"Saya tidak pasti mengenai hantaran itu. Orang yang buat posting dekat Threads itu pun saya tak kenal.

"Orang yang buat posting itu pun tidak menggunakan akaun yang betul.

"Untuk pengetahuan, akaun itu sendiri block (sekat) akaun Threads saya. Jadi saya pun tak dapat tengok posting tu. 

"Jadi saya tak boleh nak tengok, komen atau ambil sebarang tindakan apa-apa. Ramai orang yang mention saya dekat posting tu. Itu pun saya tak boleh nak tengok," katanya ketika dihubungi pada petang Ahad.

Hantaran daripada sebuah akaun tidak dikenali itu memaparkan sekeping kertas dipercayai laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur bertarikh 12 Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah ikut syarat bekas isteri, Haqiem Stopa sedih tak dapat jumpa anak

ARTIKEL BERKAITAN: Sedia buat sumpah laknat… Haqiem Stopa akui berada dalam rumah dengan remaja 18 tahun, tapi tidak lakukan perbuatan ‘jijik’

Malah, satu kad pesakit luar dari Unit One Stop Crisis Centre (OSCC), Jabatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur turut dikepilkan bersama.

Mengulas lanjut, Haqiem turut mempersoalkan tujuan individu berkenaan memuat naik dokumen tersebut memandangkan tarikh pada laporan polis itu sudah berlalu lebih tiga bulan lalu.

"Jadi tak steady la. Akaun itu pun satu akaun yang tipu (palsu). Tak tahu asal usul dan siapa di sebalik akaun itu dan kenapa dia upload benda macam itu.

"Dalam report itu ada tertera tarikh bulan Februari tapi sekarang sudah masuk bulan Mei. Tak perlu sabotaj saya dengan cara tu," ujarnya.

Berdasarkan salinan laporan polis yang tersebar, pengadu merupakan seorang wanita berusia 38 tahun mendakwa anak perempuannya, dicabul dan dirogol oleh seorang lelaki bernama Muhamad Sadzri Hakim Jaafar.

  • Haqiem Stopa beri penjelasan selepas namanya dikaitkan dengan laporan polis tular.
  • Dia mendakwa akaun yang memuat naik dokumen itu adalah akaun palsu.
  • Hantaran tersebut memaparkan laporan polis dan kad pesakit luar hospital.
  • Haqiem persoal motif dokumen lama itu kembali tersebar selepas tiga bulan.
  • Laporan berkenaan mengandungi dakwaan terhadap lelaki bernama Muhamad Sadzri Hakim Jaafar.

Menurut laporan tersebut, kejadian didakwa berlaku pada 26 Ogos 2025 kira-kira pukul 9 malam ketika mangsa berada di kawasan Odeon, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. 

Pengadu mendakwa lelaki terbabit mengajak mangsa naik ke tangga dengan alasan untuk mengambil pod atau vape sebelum suspek didakwa membuka seluar mangsa.

Laporan itu turut menyatakan mangsa tidak berani memberitahu ibunya kerana didakwa telah diugut dan dipaksa berdiam diri sehingga akhirnya mangsa sendiri mengaku mengenai kejadian berkenaan.

Susulan itu, pengadu membuat laporan polis sekitar 2 pagi di Balai Polis Jalan Dang Wangi bagi tindakan lanjut daripada pihak polis.

Artikel Lain