suria

Nora Ariffin dakwa boleh terima royalti arwah suami cecah RM1 juta, tapi dapat hanya RM60

Nora tuntut hak untuk lagu ciptaan arwah suami.

PENYANYI Datuk Nora Ariffin meluahkan rasa kesal apabila isu bayaran royalti untuk lagu ciptaan Allahyarham suaminya berjudul Sinaran masih belum dapat diselesaikan. 

Kata Nora atau Wan Norafizah Ariffin, 53, lebih lima tahun dia berurusan dengan pihak yang terbabit, namun masih tiada sebarang jalan penyelesaian dicapai. 

"Isu ini dah lama. Saya dah turun naik jumpa MACP (Music Authors Copyright Protection). Namun jawapan masih sama, mereka kata akan update. Tetapi sampai sekarang tiada sebarang penyelesaian. 

Luahan Nora di Instagram. 

"Rasanya sudah lima tahun saya berurusan. Saya ikut prosedur yang betul dan ikut apa yang mereka mahukan," katanya ketika dihubungi mStar. 

Nora sebelum itu berkongsi tentang luahan tersebut di Instastory miliknya pada Rabu. 

Menurut penyanyi ini lagu nyanyian Datuk Sheila Majid itu sering dimainkan dalam mana-mana acara namun dia hanya menerima RM60 ketika Allahyarham Johan Nawawi masih hidup. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Apa dosa aku sampai diuji seperti ini?”... Nora imbau peritnya hidup selepas pemergian Johan 

ARTIKEL BERKAITAN: Suami Nora, Johan Nawawi Meninggal Dunia

Tambah Nora dia lantang bersuara bagi menuntut hak untuk sebuah karya ciptaan Johan. 

"Saya bercakap sebagai waris kepada arwah. Saya nak tuntut hak untuk anak-anaknya. Ramai sangka saya dapat royalti banyak tetapi yang saya tahu hanya RM60 sahaja. 

"Apakah peranan MACP? Adakah mereka hanya menguruskan bayaran royalti untuk komposer yang masih hidup? Suara saya ini juga mewakili orang yang menerima nasib sama," ujarnya. 

Nora mahu jalan penyelesaian isu royalti. 

Dalam masa sama, Nora menganggarkan nilai royalti yang harus diterima adalah tidak kurang dari RM1 juta. 

Dia juga berharap isu ini dapat diselesaikan segera dan pihak terbabit dapat mengambil tindakan. 

"Lagu tersebut banyak dimainkan di mana-mana platform sehingga hari ini. Mungkin nilai royalti hampir RM1 juta," jelasnya.

Untuk rekod Allahyarham Johan meninggal dunia pada Mac 2017 akibat serangan jantung. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain