FILEM komedi romantik Isan Nikah berjaya mencuri perhatian penonton terutama di media sosial apabila ramai memuji jalan ceritanya yang unik dan dekat dengan realiti masyarakat.
Mengangkat tema cinta antara dua budaya dan agama iaitu Islam dan Buddha, filem ini mengisahkan tentang gadis Pattani bernama Sophia dan Bak Kai, lelaki dari Isan, Thailand yang sanggup memeluk Islam demi memperisterikan wanita pilihannya.
Namun, perjalanan cinta mereka bukan mudah apabila abang Sophia iaitu Bang Lee menjadi penghalang utama gara-gara trauma masa lalu.
Isan Nikah papar kisah kahwin campur.
Bukan sekadar komedi, Isan Nikah turut mendapat pujian kerana berjaya memaparkan kehidupan masyarakat Islam di selatan Thailand dengan penuh hormat.
Dari adegan masjid, pakaian tradisional sehinggalah babak makan di kenduri semuanya memberi gambaran budaya yang jarang ditonjolkan dalam filem arus perdana.
Menjengah ke ruangan komen di media sosial, rata-rata netizen memuji elemen komedi dalam filem ini yang dianggap sebagai 'lawak kampung' yang menjadi.
Malah ada juga di antara mereka yang menyamakan kelucuan filem ini dengan gaya filem pengarahan Allahyarham Mamat Khalid yang menerapkan komedi bersahaja.
ARTIKEL BERKAITAN: Meerqeen tak layan kecaman netizen, turun 12 kg demi ‘Thariq Ridzuwan’
ARTIKEL BERKAITAN: Haidar Hasanudin pegang prinsip tak main telefon di set penggambaran, pasang impian berlakon filem ketenteraan
“Tak sangka, filem Thailand boleh buat saya gelak terbahak-bahak. Rasa macam tengok cerita kampung Malaysia, tapi ada elemen Pattani yang sangat menarik.
“Filem ringan tapi penuh nilai. Banyak pengajaran tentang toleransi agama dan penerimaan budaya. Tak berat, tapi beri kesan.
"Kelakar dan lawak kampung cerita ini macam filem arwah Mamat Khalid," tulis netizen.
Isan Nikah mengisahkan perkahwinan antara seorang gadis Muslim asal Pattani iaitu Sophia (lakonan Kamonporn Sangwatcharasoontorn) dengan kekasihnya Bak Kai (Nattawut Sanyabut).
Isan Nikah terima pujian penonton.
Hubungan mereka mendapat tentangan abang Sophia yang mempunyai sejarah silam terhadap lelaki asal Isan seperti Bak Kai.
Pelbagai usaha dilakukan untuk menggagalkan rancangan perkahwinan tersebut sehingga terjadi perkara yang melucukan.
Filem terbitan Monwichit Entertainment ini menampilkan barisan pelakon seperti Nattawut Sanyabut, Chatchai Chinnasri, Kamonporn Sangwatcharasoontorn, Adull Borsu dan pempengaruh, Amadkuciasree Doloh atau Chalee.
Filem ini sudah ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula hari ini dengan edaran syarikat tempatan Empire Film Solution Sdn Bhd.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube