KEKASIH kepada pelawak Lee Jin Ho disahkan meninggal dunia di rumahnya pada 5 Oktober lalu sekitar pukul 8.30 pagi waktu Korea Selatan.
Mayat wanita yang hanya dikenali sebagai ‘A’ itu ditemukan oleh seorang kenalan yang kemudian membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.
Wakil polis daerah Bupyeong, Incheon mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah ketika mereka melakukan siasatan terhadap kematian ‘A’.

Kekasih Jin Ho dikatakan alami tekanan melampau.
Namun, kes ini menjadi bualan ramai kerana ‘A’ merupakan individu yang membuat laporan polis tentang Lee Jin Ho memandu dalam keadaan mabuk pada September lalu sehingga pelawak berkenaan ditahan pihak berkuasa.
Khabar angin menyebut ‘A’ mengalami tekanan selepas pihak media mengetahui identiti individu yang membuat laporan tersebut.
Lebih teruk lagi apabila ramai yang mengecam tindakan ‘A’ kerana sanggup melihat kekasihnya berdepan tindakan undang-undang.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes lama belum selesai, pelawak lelaki sekali lagi ditahan polis
ARTIKEL BERKAITAN: Jimin BTS tanggung rugi RM318,000, baik hati tolong Lee Jin Ho langsai hutang judi
Susulan kisah sebelum ini, ada yang mula membuat spekulasi bahawa ‘A’ meninggal dunia akibat tekanan melampau.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Lee Jin Ho kini masih dalam siasatan pihak berkuasa atas kesalahan memandu secara mabuk pada 25 September lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


