ANAK kepada pengarah Hollywood, Rob Reiner, iaitu Nick Reiner, ditahan pihak polis Los Angeles pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan ibu bapanya.
Nick yang berusia 32 tahun kini berada dalam tahanan polis selepas didakwa menjadi suspek utama dalam kematian Rob, 78, dan isterinya, Michele Singer, 68.
Dia ditahan tanpa ikat jamin dan berdepan dua pertuduhan membunuh, masing-masing melibatkan kematian bapanya dan ibunya.

Rob (kiri) bersama anaknya Nick.
Menurut hasil siasatan awal, kedua-dua mangsa ditemui tidak bernyawa di kediaman mereka di Brentwood, Los Angeles, Amerika Syarikat, dengan kesan kecederaan akibat tikaman.
Susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai pembunuhan, namun pihak berkuasa masih belum mendedahkan motif kejadian kerana siasatan lanjut sedang dijalankan.
Menurut pihak polis, terdapat pertengkaran antara Nick dan bapanya beberapa jam sebelum pasangan itu ditemui tidak bernyawa.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Pengarah filem dan isteri meninggal dunia, terdapat unsur jenayah
ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon tertua Korea Selatan Lee Soon Jae meninggal dunia
Nick dikatakan meninggalkan rumah selepas kejadian tersebut sebelum pihak polis mengesan lokasinya di sekitar Universiti Southern California.
Malah, Nick sebelum ini juga dipercayai mempunyai masalah peribadi selain mengalami ketagihan dadah.
Untuk rekod, Nick merupakan anak kedua Rob dan Michele.
Pasangan ini mempunyai tiga orang cahaya mata bersama, manakala Rob mempunyai seorang anak angkat hasil perkahwinan terdahulu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


