suria

[V] Jangkitan kuman paru-paru Adi Putra belum sembuh, berserah sepenuhnya pada Allah

PELAKON Datuk Adi Putra masih belum pulih sepenuhnya selepas mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan batu karang sejak Disember lalu.

Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 44, berkata, doktor memaklumkan dia perlu mengambil masa selama beberapa bulan untuk sembuh sepenuhnya daripada jangkitan tersebut.

"Masih dalam proses penyembuhan, jangkitan ini bukan boleh hilang sehari dua ini.

"Macam dijangka kuman pada paru-paru mengambil masa sebulan atau lebih untuk sembuh.

adi1 - 1

Adi tidak mahu menghampakan peminat yang sentiasa memberikan sokongan.

"Sekarang pun saya masih mengambil ubat-ubatan atas nasihat doktor," katanya kepada mStar.

Adi berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi fotografi promosi drama Sekam Di Dada yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama pada Selasa.

Dalam pada itu, Adi memberitahu dia hanya mampu bertawakal kepada Allah tentang tahap kesihatannya ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru keluar hospital, Adi Putra terus masuk set penggambaran sambung kerja

ARTIKEL BERKAITAN: Adi Putra rindu doa seorang ibu, syukur dapat jadi imam solat jenazah

Bagaimanapun bagi memastikan proses pemulihannya tidak terganggu, dia mendapatkan rehat secukupnya selain menjaga kebersihan diri.

"Jaga kebersihan dan kesihatan dengan mendapatkan rehat secukupnya.

"Bergantung kepada ubat pun salah satu usaha tapi selebihnya saya tawakal kepada Allah.

Saya hanya memohon doa agar semua urusan saya dipermudah sebab semuanya datang daripada-Nya.

DATUK ADI PUTRA

PELAKON

"Saya hanya memohon doa agar semua urusan saya dipermudah sebab semuanya datang daripada-Nya," ujarnya.

Sementara itu, Adi memberitahu dia tidak sesekali menggunakan alasan kesihatannya untuk menghampakan peminat.

Sebaliknya, dia akan terus bekerja seperti biasa apatah lagi tidak gemar menangguhkan sebarang pekerjaan diberikan kepadanya.

adi2 - 1

Adi sebelum ini memaklumkan menerima rawatan di hospital.

"Sepanjang 21 tahun berkarya saya tak akan hampakan peminat.

"Selepas dibenarkan pulang, saya memang terus ke lokasi penggambaran sebab tidak mahu tangguhkan kerja apatah lagi ia melibatkan kru dan pelakon lain," ujarnya.

Pada Disember lalu, Adi dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur akibat mengalami jangkitan kuman di paru-paru dan masalah batu karang.

Isterinya iaitu Datin Aida Yusof memberitahu, pelakon filem Mat Kilau ini jatuh sakit kerana tidak mendapatkan rehat mencukupi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain