PELAKON dan pengarah Ellie Suriaty membuat laporan polis terhadap Imran Bard atas dakwaan mencemarkan namanya dalam sebuah kandungan video di TikTok pempengaruh berkenaan.
Ellie atau Ellie Suriaty Omar, 54, menjelaskan tindakan itu dibuat kerana maruahnya sebagai seorang anak seni sudah tercalar dan dihina dengan sewenang-wenangnya.
Malah Ellie tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap Imran selain memanjangkan laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Saya sudah berbincang dengan peguam dan ada beberapa perkara yang dia lakukan boleh dikenakan saman namun berapa nilai saman? RM3 juta ke? Ia tak ternilai dengan bakat yang Allah kurniakan kepada saya.
Nilai saman Ellie terhadap Imran dikatakan tidak bernilai dengan bakatnya yang tercemar.
“Apa yang dia buat telah mencemarkan nama saya. Maruah saya tercalar dan saya rasa terhina,” katanya kepada mStar.
Ellie mengulas mengenai perkara itu ketika sidang media khas yang diadakan di Kuala Lumpur pada petang Khamis.
Pelakon berkenaan membuat laporan terhadap Imran di Balai Polis Hulu Klang, Selangor pada Ahad lalu.
Isu timbul apabila Imran didakwa sengaja membuat kandungan dengan menyebut nama Ellie menggunakan bahan terlarang.
ARTIKEL BERKAITAN: Ellie Suriaty tak setuju cara Fazura dedah hal rumah tangga, puji Fattah terlalu baik orangnya
ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan buli calar taraf industri seni, Ellie Suriaty nasihat pendatang baharu lapang dada terima teguran
Biarpun dalam nada jenaka, Ellie menganggap ia sebagai tidak wajar kerana nama ‘Ellie Suriaty’ sudah dikenali ramai.
Ellie mula sedar akan video berkenaan selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan pada Sabtu lalu.
Video tersebut dimuat naik oleh Imran pada 12 Februari dan telah mencapai tontonan sebanyak lebih 1.3 juta sehingga Rabu.
Dalam pada itu, Ellie menuntut ibu bapa pempengaruh itu untuk tampil memohon maaf kepadanya.
Apa yang dia buat telah mencemarkan nama saya
ELLIE SURIATY
PELAKON
Kata Ellie, dia mahu bertemu dengan ibu bapa Imran untuk memberitahu mereka tentang adab.
“Siapa dia (Imran) untuk saya berjumpa? Saya tak kenal dia. Kalau nak minta maaf, saya minta ibu bapa dia datang minta maaf. Kalau bijak datang segera minta maaf.
“Biar ibu bapa dia datang untuk saya nak beritahu mereka tentang adab.
“Namun saya tidak maafkan dia. Saya tidak halalkan apa sahaja rezeki dia dapat dari video berkenaan. Saya tak reda,” ujarnya.
Ellie mahu berjumpa ibu bapa Imran.
Tambah Ellie, tindakan biadab Imran turut memberi kesan kepada dua anak-anaknya iaitu Azrell Omar, 20, dan Nur Azreen, 16.
Malah secara peribadi, perbuatan Imran mengganggu emosinya sehingga mula berasa ragu dengan kemampuan dia sebagai orang lama dalam industri.
“Saya ini ibu tunggal. Anak saya juga ada yang masih bersekolah. Rakan-rakan dan cikgunya bertanya. Ia memberi kesan kepada anak-anak.
“Apa yang dia lakukan buat saya tak tidur malam. Di manakah diri saya dalam industri? Mungkin juga memberi kesan kepada tawaran kerja saya selepas ini,” luahnya.
Azrell dan Azreen turut hadir pada sidang media berkenaan meluahkan rasa kecewa mereka apabila Ellie dijadikan bahan jenaka.
“Lepas video itu saya rasa tidak boleh nak ke sekolah sebab ada yang bertanya. Dia bercakap buruk tentang ibu saya.
“Kepada semua TikToker fikirlah dahulu sebelum buat content. Saya malu dengan generasi saya,” luah Azreen.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube