SEBUTAN kes penceraian yang bakal berlangsung pada pagi Rabu bakal menjadi hadiah bersempena ulang tahun kelahiran ke-58 pelakon Edika Yusof yang jatuh pada 22 April 2025.
Edika berkata, walaupun terkejut dengan tindakan isterinya iaitu Nor Hidayah memfailkan cerai terhadapnya namun dia reda dengan perkara itu.
"Saya terperanjat sebenarnya. Saya cakap, kenapa kita tak berbincang dulu. Kalau ada kes sampai macam ini, kira final.
Edika reda dengan keputusan isteri.
"Kalau dia rasa dia akan gembira dengan 'melepaskan' saya, saya tak boleh buat apa sebab saya cuba menyelamatkan (perkahwinan) tapi dia yang nak (bercerai). Jadi saya terpaksa berkorban.
"22 April hari jadi saya, 23 April pula kes mahkamah kami, mungkin itu hadiah hari jadi saya," katanya.
Edika berkongsi perkara itu menerusi temu bual bersama Nona yang dimuat naik di TikTok.
ARTIKEL BERKAITAN: Dalam keadaan berkerusi roda ke mahkamah mahu cerai, mesti ada sebab kukuh - Isteri Edika Yusof
ARTIKEL BERKAITAN: Edika Yusof Pendam Hasrat Aktif Berlakon Demi Keluarga
Menurut Edika, dia percaya dia sudah menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan baik ketika dengan menjaga isterinya sepanjang 22 tahun perkahwinan mereka.
Edika juga melihat hasrat isterinya untuk bercerai pada usia mereka sekarang seperti sudah terlambat.
"Apa yang saya boleh buat, saya cuba. Umur saya dah 58 tahun. Saya dah berkahwin dengan isteri saya lebih 22 tahun. Saya jaga dia dalam 19 tahun.
"Jadi bila waktu sekarang baru nak ‘offer’ benda itu (perpisahan), saya rasa sudah terlambat. Saya tak ada fikir sangat tapi jodoh di tangan Allah.
Edika tak pernah merungut menjaga isteri tercinta.
"Tapi kalaulah dia fikir macam itu, dia patut beritahu saya awal-awal. Iyalah sebab saya tak ada pun minta benda (berpisah) macam itu," katanya lagi.
Dalam pada itu, dia juga memberitahu sudah terbiasa menjaga isterinya malah sentiasa ikhlas dalam melakukan perkara itu.
" Sebab apa saya buat sudah jadi rutin. Saya pun tak merungut. Saya pun tak suka tunjuk dekat luar apa saya buat.
"Kita berdua saja tahu apa berlaku dalam rumah tangga kita," ujarnya.
Hidayah hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda.
Pada 24 Mac lalu, Hidayah memfailkan cerai terhadap Edika di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Edika dan Hidayah mendirikan rumah tangga hampir 22 tahun dan memiliki dua orang cahaya mata iaitu Fareena Nurulhaq, dan Fardeen Ulhaq, 20.
Hidayah juga memiliki seorang lagi cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.
Untuk rekod, Hidayah mengalami lumpuh separuh badan akibat demam panas sejak 19 tahun lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!