suria

Kerajaan taja buka akaun i-Saraan KWSP kepada 1,000 penggiat seni

Fahmi Fadzil perkenalkan menerusi program Pelindung untuk tenaga industri seni.

KERAJAAN akan menaja pembukaan akaun i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 1,000 penggiat industri hiburan tempatan. 

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif ini diperkenalkan menerusi program Pelindung yang menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada tenaga industri yang terpinggir termasuk kru bebas dan pekerja belakang tabir.

“Salah satu inisiatif penting yang digerakkan oleh Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) bersama Finas ialah Program Pelindung, iaitu sebuah usaha menyeluruh untuk menyediakan perlindungan sosial kepada penggiat seni, khususnya pekerja bebas, kru produksi dan tenaga belakang tabir.

Fahmi (tengah) menyerahkan bantuan kepada pelakon veteran ditemani Hans Isacc (kiri) dan Datuk Azmir (kanan).

"Melalui kerjasama strategik bersama Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penggiat seni kini boleh menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) serta i-Saraan KWSP tanpa had umur, satu perlaburan jangka panjang untuk masa depan dan kebajikan mereka," katanya. 

Fahmi berkongsi perkara itu menerusi Majlis Muhibbah Sambutan Raya Finas yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Damansara pada Selasa. 

Dalam pada itu, Fahmi berkata kerjasama strategik bersama KWSP ini membolehkan penggiat seni menyertai i-Saraan KWSP tanpa had umur. 

ARTIKEL BERKAITAN: Hans Isaac kembali dilantik sebagai Pengerusi Finas

ARTIKEL BERKAITAN: Azmir Saifuddin CEO baharu Finas

Ujarnya, kuota ini dibuka sehingga September 2025 dan keutamaan akan diberikan kepada penggiat yang belum mempunyai carauman KWSP. 

"Untuk menyokong inisiatif ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Finas akan menaja pembukaan akaun i-Saraan KWSP kepada 1,000 orang penggiat seni yang masih belum mempunyai akaun KWSP.  

"Inisiatif ini bukan sahaja membuka jalan kepada simpanan hari tua tetapi juga memberi mesej jelas bahawa Kerajaan Madani tidak meminggirkan mereka yang selama ini bertungkus-lumus membina industri dari belakang tabir," ujarnya. 

Dalam pada itu, Fahmi turut melancarkan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) dan inisiatif perlindungan sosial melalui program Pelindung.

Kerajaan Madani tidak meminggirkan mereka yang bertungkus-lumus.

DATUK FAHMI FADZIL

MENTERI KOMUNIKASI

“Gafema menghimpunkan lebih 16 buah persatuan merangkumi penerbit, pengarah, pekerja teknikal, animator, penulis skrip, pos-produksi dan banyak lagi sebagai satu entiti kolektif untuk memperjuangkan hak, kebajikan dan pembangunan industri,” katanya.

Sementara itu, Finas turut menyerahkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) sebabyak RM613,702 kepada sembilan buah filem tempatan yang telah ditayangkan di pawagam menerusi Skim Wajib Tayang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, insentif ini diberikan supaya menjadi pendorong kepada pembikin filem tempatan untuk terus menyumbang kepada pembangunan industri kreatif negara. 

Sebanyak tujuh produksi termasuk MIG Pictures Sdn Bhd, Fiesk Sdn Bhd, Scifilm Sdn Bhd, Hug Pictures Sdn Bhd, Empire Film Solution Sdn Bhd, Sistem Televisyen Malaysia Berhad dan Mangkin Prestif Sdn Bhd menerima ITFC pada tahun ini. 

Fahmi harap program Pelindung dapat melindungi penggiat seni.

Ia merangkumi sembilan filem yang dihasilkan iaitu Jangan Pandang Belakang: Aku Tahu Asal Usulmu, Takafur, This Land Of Mine, C 4 Cinta, Lubuk, Danum, Reeza, Papa dan Dajal : Satu Malam Dipedajal. 

Sejak 2019 sebanyak 200 filem tempatan menerima ITFC dengan nilai keseluruhan melebihi RM15.8 juta. 

Pada pagi Selasa, menerusi Program Town Hall Industri Kreatif, Finas memberi penerangan berkenaan pindaan Akta Finas 1981 (Akta 244) serta membuka ruang kepada pemain industri menyatakan pendapat bagi memastikan industri ini dapat diperkukuh dari semasa ke semasa.

Dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini, fokus pindaan Akta 244 membabitkan tiga skop utama iaitu peluasan skop kawal selia Finas, pengukuhan tadbir urus serta pemantapan fungsi Finas, sejajar dengan keperluan semasa termasuk arus dominan platform OTT (Over-The-Top) dan penstriman digital yang mengubah cara khalayak menikmati kandungan filem.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain