suria

Elfira Loy kongsi pengalaman jadi ‘jenazah’, seram fikir pengakhiran hidup

Elfira menyeru umat Islam untuk mencari peluang dalam melakukan pengurusan jenazah.

PENGALAMAN menyertai kursus pengurusan jenazah meninggalkan kesan mendalam dalam diri pelakon Elfira Loy, sehingga timbul rasa takut dan keinsafan apabila mengenangkan hakikat kehidupan di dunia.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, turut mengajak umat Islam agar tidak melepaskan peluang untuk terlibat dalam urusan memandikan jenazah sebagai peringatan tentang kematian.

“Apa yang terkesan dalam hidup saya dan mungkin tiada yang bercerita, saya mahu orang lain belajar cara memandikan jenazah.

Elfira

Elfira merasai pengalaman menjadi 'jenazah' sewaktu menghadiri kelas pengurusan jenazah.

“Saya pernah belajar sekali, saya juga pernah jadi ‘jenazah’. Subhanallah, saya rasa siapa yang pernah memandikan jenazah akan takut dengan kehidupan di dunia ini.

“Cubalah, baru saya tahu kenapa orang yang memandikan jenazah ini pahalanya sebesar gunung Uhud,” katanya.

Elfira berkongsi perkara itu menerusi sebuah temu bual bersama podcast Sembang Seram yang dimuat naik di YouTube.

ARTIKEL BERKAITAN: Elfira Loy tak minat berlakon, terpaksa pendam perasaan mahu bantu ringan beban ibu

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah jemaah haji bergelimpangan, Elfira Loy saksi dedikasi pasukan perubatan bantu mangsa

Dalam pada itu, Elfira memberitahu sepanjang mengikuti kursus pengurusan jenazah, timbul perasaan takut memikirkan bagaimana pengakhiran hidup sama ada dalam keadaan yang baik atau sebaliknya.

“Tugas memandikan jenazah ini sangat susah, perasaan itu sangat ketat di dada dan waktu itu anda akan terfikir bagaimana cara anda nak mati nanti.

“Macam mana orang bersihkan anda (mandi jenazah). Ia memberi gambaran bagaimana kehidupan anda di dunia sebelum ini.

“Bersihnya jenazah kita itu bagaimana, apa amalan yang kita buat, semuanya akan terpancar semasa anda mati,” ujarnya.

Elfira takut memikirkan tentang bagaimana pengakhiran hidupnya kelak.

Malah, pelakon filem Tentang Bulan ini juga menyifatkan pengalaman menghadiri kelas pengurusan jenazah sebagai satu bentuk kesedaran kepada masyarakat untuk mengambil tanggungjawab menguruskan sendiri jenazah ahli keluarga.

“Akan berlaku satu perubahan dalam hidup anda dan saya tak rasa semua orang berani buat perkara ini (mandi jenazah), tapi kita kena juga lakukannya satu hari nanti.

“Itu sahaja kalau ada nasihat yang saya nak sampaikan. Mungkin anda boleh pertimbangkan. Siapa nak mandikan jenazah mak dan ayah kalau bukan kita?” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain