HAMPIR tiga dekad tidak melakukan persembahan berskala besar, kumpulan 4U2C akhirnya memberanikan diri mengadakan konsert sulung yang bakal berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor pada 15 September depan.
Menurut anggota kumpulan itu yang juga pengacara, Datuk AC Mizal dia pada awalnya menolak untuk mengadakan konsert berkenaan namun bersetuju selepas dipujuk anak perempuan.
“Sebenarnya saya sudah tolak tawaran untuk mengadakan konsert ini tapi bila anak perempuan saya minta saya cuba, jadi saya sahut cabaran itu.
AC (tengah) yakin konsert 4U2C bakal gamit memori.
“Bukan apa, sebab bila buat konsert banyak pengorbanan yang perlu dibuat seperti perlu menghadiri latihan menari, vokal dan promo.
“Selepas berbincang saya ubah fikiran sebab bukan mudah kami bertujuh nak menyanyi atas pentas besar, jadi saya janji konsert kali ini akan jadi ‘another level’,” katanya kepada mStar.
AC berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media konsert We 4U2C yang diadakan Tribeca Serviced Hotel, Kuala Lumpur pada petang Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Sejam dah ‘sold out’, peminat hampa lagi tak dapat tiket konsert... Inteam bakal buat kejutan
ARTIKEL BERKAITAN: Barbarik buat konsert bukan sebab duit, tiada perancangan tambah hari kedua
AC Mizal dalam masa sama berharap penganjuran ini juga memberi galakan kepada lebih banyak kumpulan lain untuk kembali memeriahkan industri hiburan tempatan.
"Kami bukan nak cipta sejarah baru, sebaliknya objektif kami adalah untuk jadi 'trendsetter' dengan kembalikan sejarah dahulu. Inilah peluang untuk kami membuat kemunculan semula.
"Kumpulan 4U2C adalah kumpulan pertama yang tampil menyanyi sambil menari. Jadi untuk konsert kali ini kami akan lakukan perkara sama.
Konsert 4U2C bawak kelainan tersendiri.
"Kami nak tunjuk dalam Malaysia ini sebenarnya memang ada artis yang berkualiti dan bukan sekadar menyanyi semata-mata namun boleh menghiburkan," jelasnya.
Selain AC, 4U2C juga dibarisi enam ahli lain iaitu Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.
Bukan hanya mengadakan konsert, kumpulan ini juga bakal melancarkan tiga single baharu dalam masa terdekat.
Harga tiket konsert WE 4U2C ini bermula daripada RM155 sehingga RM555 dan akan mula dijual pada 30 Jun ini, melalui platform Ticket Empire dan Fantopia.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube