suria

Didakwa berangan, harga tiket konsert tak berbaloi, Azza Elite jadikan kecaman pembakar semangat

Elite bakal mengadakan konsert solo pertama pada September depan.

ANGGOTA  kumpulan Elite, Azza Zawari tidak mahu mengambil pusing mengenai komen-komen negatif yang diterima sejak pengumuman konsert kumpulan berkenaan pada September depan. 

Azza atau Nor Azzarima Zawari, 48, berkata, dia dan Elite menjadikan setiap komen negatif sebagai pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik. 

Kata Azza, kecaman diterima juga sedikit sebanyak memberi peringatan kepada Elite supaya tidak terlalu selesa dengan peluang yang dikecapi. 

"Saya baca komen-komen di media sosial tetapi Alhamdulillah tidak sampai mengganggu kerjaya kami (Elite). 

Azza (kanan) tidak mahu mengambil pusing dengan komen kecaman diterima Elite.

"Saya tahu ramai yang peduli tentang Elite. Kadang kala komen negatif ini memberi semangat dan saya percaya mereka tidak ada niat untuk menjatuhkan kumpulan kami. 

"Kalau orang asyik cerita yang seronok saja, bimbang nanti Elite akan terus leka dan alpa. Jadi bila menerima komen seperti ini, kami akan cuba buat persembahan terbaik pada malam konsert," katanya ketika dihubungi mStar. 

Menurut Azza, dia tidak menafikan timbul sedikit rasa kecewa selepas membaca kecaman di media sosial, namun enggan menjadikan perkara itu sebagai pematah semangat. 

Kongsinya, Elite hanya mahu memberi fokus kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sejak 30 tahun lalu. 

ARTIKEL BERKAITAN: 30 tahun menanti, Elite nekad turun berat badan untuk konsert solo

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pekerja lari nampak suami Azza Elite, tergamak tinggalkan isteri di pasar raya elak bersemuka 

"Kalau nak cakap fasal 'down' memang ada sedikit terasa tetapi kami tak boleh nak patah semangat.

"Saya faham sebagai manusia tidak semua orang suka kita. Kalau ada dua tiga orang yang tidak gembira, baik kita fokus pada mereka yang sentiasa memberikan sokongan. 

"Kami akan tetap terus bangkit dan buktikan kemampuan pada konsert itu nanti, insya-Allah," ujarnya. 

Azza bagaimanapun terus kekal positif dan menyifatkan kecaman yang diterima itu sebagai satu ujian sebelum mereka beraksi di pentas konsert nanti. 

Saya tahu ramai yang peduli tentang Elite, kadang kala komen negatif ini memberi semangat. 

AZZA ZAWARI

ANGGOTA ELITE

Ditanya soal aduan harga tiket yang dijual agak mahal, penyanyi berkenaan tidak dapat memberi sebarang komen kerana perkara itu di luar bidang kuasanya. 

"Kami perlu melalui pelbagai cabaran dan ujian untuk berada di tahap sekarang. Peluang sudah diberikan (konsert) dan kami tak boleh lari dengan sebarang bentuk cabaran. 

"Setiap kali nak capai kejayaan sudah tentu laluannya tidak mudah. 

"Soal harga tiket yang dikatakan agak mahal, maaf itu di luar bidang kuasa saya," katanya. 

Sebelum ini, Elite memaklumkan bakal mengadakan Konsert Elite Live '25 di Dewan Plenary Kuala Lumpur pada 20 September depan. 

Elite menyambut ulang tahun ke-30 dalam industri muzik.

Pengumuman tersebut  menerima pelbagai reaksi netizen di media sosial termasuk ada yang menganggap Elite belum cukup kemampuan dan berangan untuk menganjurkan konsert solo selain mendakwa harga tiket terlalu mahal.  

Tiket konsert terbabit dijual pada harga bermula RM268 hingga RM1088. 

Selain Azza, Elite turut dianggotai oleh Linda Rafar, Abby Abadi, Sasha Saidin dan Watie Sadali.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain