suria

Lagu hak pencipta, M Nasir saran 4U2C, Man Senoi runding selesai konflik

M. Nasir berharap 4U2C dapat berbincang secara baik dengan Man Senoi.

SUSULAN isu hak cipta lagu yang hangat diperkatakan, penyanyi dan komposer Datuk M Nasir berpendapat perlu ada perbincangan antara pihak-pihak terbabit.

Bagi M Nasir, 68, setiap individu yang terlibat mempunyai hak masing-masing dalam sesebuah karya.

Namun menurutnya, pencipta lagu harus diberi keutamaan apabila melibatkan isu sebegini.

M Nasir memberitahu pemilihan lagu seharusnya mendapat persetujuan pencipta.

“Pencipta lagu ada hak yang kuat terhadap karyanya. Orang yang rakam lagu pun ada hak.

“Perkara ini perlu dibawa berbincang. Ia akan jadi lebih senang,” katanya kepada mStar.

M Nasir ditemui ketika majlis sidang media konsert Datuk M N46IR Cipta 3 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Ikut ‘law’ 4U2C perlu minta izin Man Senoi, Exists cadang ‘duduk semeja’ dan berbincang

ARTIKEL BERKAITAN: M Nasir kagumi karya klasik, rakam semula lagu Melayu pertama untuk projek ‘100 Lagu 100 Tahun’

Beliau mengulas perkara itu berhubung kemelut antara penerbit Man Senoi dan isterinya Mama Rap yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap penganjuran We 4U2C Live In Concert kerana mempunyai hak terhadap 25 lagu nyanyian kumpulan terbabit.

Tambah M Nasir dalam mana-mana penganjuran acara konsert, pemilihan lagu seharusnya mendapat persetujuan pencipta yang merupakan pemilik sesebuah karya.

“Penganjur tiada hak, penyanyi pula kalau nak guna lagu kena berurusan dengan pencipta.

“Kebiasaannya tak perlu 'deal', tapi bayar melalui Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP). Cuma kalau pencipta lagu tak bagi kebenaran, dia masih mempunyai hak itu,"katanya.

4U2C bakal buat kemunculan semula pada September depan.

4U2C bakal buat kemunculan semula pada September depan.

Terdahulu Man Senoi dan Mama Rap mempersoalkan penganjuran konsert kumpulan 4U2C yang dikatakan dibuat tanpa perbincangan dengannya.

Mereka turut mendakwa tidak dihubungi oleh mana-mana pihak termasuk penganjur konsert iaitu Juss Event dalam meminta kebenaran untuk isu hak cipta lagu berkaitan dengan 'sound audio' atau bahan rakaman yang menjadi hak milik Zman Productions bagi konsert yang dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September depan.

4U2C adalah artis rakaman Zman Productions milik Man Senoi dan Ramziah. Bagaimanapun hubungan ini terlerai selepas album kedua 4U2C yang membawa ke mahkamah dan kemenangan berpihak kepada Zman Productions.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain