SYARIKAT rakaman Universal Music Malaysia (UMM) memaklumkan kerjasama dengan Faithful Music bagi memperkukuhkan komitmen jangka panjang daripada aspek pelaburan untuk bakat baharu di Malaysia.
Menurut pengasas syarikat rakaman Faithful Music yang juga penyanyi Faizal Tahir menganggap kerjasama ini memberikan satu peluang untuk pihaknya mencipta karya kreatif dan komersial bagi artis naungan mereka.
"Peluang bekerjasama dengan UMM sangat mengujakan bagi Faithful Music. Ia juga satu pengiktirafan besar terhadap kepentingan dan kekuatan lagu artis tempatan.
"Kami teruja memperkukuhkan lagi perkhidmatan yang kami tawarkan kepada klien menerusi kerjasama ini," katanya.
Lagu Raya Pum Pang antara kejayaan kerjasama antara UMM dan Faithful Music.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan UMM iaitu Kim Lim berkata, kerjasama ini bukan sekadar membentuk satu perkongsian tetapi ia merupakan pelaburan dalam komuniti muzik tempatan.
Malah kolaborasi ini sekali gus dapat meningkatkan keupayaan dalam memperkukuh pasaran Nusantara merangkumi Malaysia, Singapura dan Indonesia.
"UMM menyokong semua pencipta muzik dengan memberikan sokongan bertaraf dunia. Kami mencari rakan kongsi yang berkongsi semangat untuk menghasilkan lagu dan rakaman ikonik bagi menjana pertumbuhan jangka panjang.
"Kami teruja untuk mencipta peluang baharu daripada sudut komersial dan kreatif untuk artis-artis Faithful Music," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Syasya masih artis naungan Universal Music, ada kemungkinan bergerak secara solo
ARTIKEL BERKAITAN: Lancar album konsep kenduri, Faizal Tahir kongsi peringatan dalam ‘Jati Diri’
Keputusan kerjasama ini dibuat selepas beberapa kerjasama antara UMM dan Faithful Music membuahkan hasil termasuk lagu Raya Pum Pang nyanyian Fazura dan Syasya Rizal yang meraih lebih sejuta tontonan di YouTube dalam tempoh dua minggu pertama.
Lagu Memang Smart AYE yang menampilkan artis-artis baharu dari kedua-dua label iaitu Insomniacks, Sabronzo Dolla, Aziz Harun dan Killa Driz turut digunakan dalam kempen berskala besar sebagai jingle komersial daripada video muzik untuk sebuah jenama telefon.
Untuk info, Faithful Music diasaskan oleh penyanyi dan penerbit muzik Faizal Tahir bersama Mike Chan pada 2015.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube