BUKAN lagi rahsia, pelakon Ramona Zamzam akhirnya mendedahkan identiti lelaki yang selama ini dipanggil ayah sejak daripada kecil.
Ramona atau Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 35, berkata lelaki tersebut bukan ayah kandung sebaliknya bapa tiri yang sudah menjaga sejak kecil.
Tambah Ramona, dia juga tidak mengenali bapa kandung memandangkan ibu bapanya berpisah sejak dia masih kecil.
Ramona bersama bapanya iaitu Zamzam.
“Sebenarnya, lelaki yang saya panggil ayah selama ini bukanlah ayah kandung saya. Dia adalah ayah tiri saya.
“Perkara ini saya rahsiakan sejak sekian lama. Tapi sekarang saya sudah sampai ke satu fasa dalam hidup di mana saya rasa tidak mengapa jika orang tahu,” katanya.
Ramona berkongsi perkara itu semasa menjadi tetamu podcast Bukak Mulut yang disiarkan di saluran YouTube.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Harap mereka tertampar dengan teguran saya” - Ramona Zamzam tak peduli jika ada rakan artis terasa hati isu ‘Blockout 2024’
ARTIKEL BERKAITAN: “Baru terhegeh-hegeh nak upload?” - Ramona Zamzam selar artis bersuara tak ikhlas selepas masuk senarai boikot
Berkongsi lebih lanjut, Ramona memberitahu dia tidak pernah bertemu ayah kandungnya namun pernah berbual sekali melalui telefon sewaktu di bangku sekolah rendah.
Katanya, berdasarkan perbualan ketika itu dia yakin bapanya tidak berminat untuk bertemu dan membiarkan ibu membesarkannya.
“Saya cuba cari dia masa kecil, dan pernah bercakap di telefon sekali. Tapi daripada cara dia bercakap, saya dapat rasa dia langsung tak berminat nak jumpa saya. Seolah saya sahaja yang teruja nak jumpa dia.
“Masa itu, mak dah kahwin dengan ayah tiri. Tetapi semasa bercakap dengan ayah kandung di telefon ketika itu, saya masih ingat dia cakap ‘Mak awak kerja, mak ada duit, jadi biarlah mak jaga awak.’
Walaupun bukan ayah kandung, tapi hubungan kami sangat rapat.
RAMONA ZAMZAM
PELAKON
“Daripada situ saya sedar, dia memang tak ambil peduli pasal saya, dia tak kisah pun pasal anak dia dan tiada usaha pun hendak cari. Saya rasa perkara itu telah menguatkan lagi semangat untuk meneruskan kehidupan,” katanya lagi.
Pun begitu, Ramona berkata dia dibesarkan penuh kasih sayang oleh bapa tirinya sekali gus sangat menghargai lelaki itu.
“Ayah tiri saya, Zamzam, sangat istimewa dalam hidup saya. Walaupun bukan ayah kandung, tapi hubungan kami sangat rapat.
“Dialah yang membesarkan saya dan memberikan kasih sayang seperti anak sendiri,” ujarnya.
Ramona mahu beri fokus kepada keluarga.
Dalam pada itu, Ramona berkata kehidupannya kini agak mencabar apabila kesihatan bapa tirinya semakin merosot selepas disahkan lumpuh.
Dia juga lebih banyak memfokuskan kepada keluarganya berbanding perkara lain.
“Sekarang fokus saya adalah kepada keluarga, terutamanya ayah. Keadaan kesihatan ayah yang semakin merosot dan lumpuh menjadikan perjalanan ini sangat mencabar dan menyedihkan.
“Ia satu perjalanan yang benar-benar mencabar buat saya yang orang lain tak tahu,”katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube