suria

Sembilan bulan dalam penjara, Eda Ezrin dah boleh cakap Thai... Rupa-rupanya ada restoran sendiri

Eda juga aktif membuat kandungan di media sosial.

KES penahanan penyanyi Eda Ezrin di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand mendapat liputan hangat sejak hujung tahun lalu.

Bermula dengan berita seorang penyanyi wanita Kelantan ditahan, nama Eda terus mencuri tumpuan sepanjang tempoh sembilan bulan dia di sana.

Episod hitam Eda atau Wan Norshaheeda Azlin Wan hampir tamat pada Mac lalu apabila dia didapati tidak bersalah memiliki lebih 6,059 pil kuda.

ARTIKEL BERKAITAN: Eda Ezrin dah ‘kelik rumoh’ jumpa keluarga, selesai tiga jam beri keterangan 

ARTIKEL BERKAITAN: 9 bulan dalam tahanan, Eda Ezrin akhirnya bebas

Namun pihak pendakwaan membuat permohonan untuk dia kembali menjalani tahanan untuk proses rayuan kes berkenaan.

Bagaimanapun pada Rabu lalu Eda bersama suami dan empat lagi rakan mereka akhirnya dibebaskan.

Berikut antara fakta menarik berkaitan Eda.

1. Mula menyanyi seawal usia 12 tahun

Eda dikatakan sudah mula aktif menyanyi sejak usia 12 tahun, namun kerjayanya hanya tertumpu di negeri Kelantan.

Menerusi carian di Youtube, Eda memiliki banyak lagu-lagu popular yang semuanya menggunakan dialek Pantai Timur.

Antara lagu nyanyian Eda adalah Hati Luko, Beratnya Dugaan dan Cocok Menike.

Eda juga merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata. 

2. Kehidupan peribadi

Selepas nama dikenali, ramai yang ambil tahu tentang perkembangan Eda termasuk kisah keluarga.

Meskipun tidak banyak bercerita, peminat sedia maklum Eda sudah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Affendi Ahmad dan mereka memiliki dua orang cahaya mata berusia lima dan sembilan tahun.

Affendi pula merupakan abang kepada pelakon dan pengacara Jaa Suzuran.

Lagu duet Eda Den Manjo melonjakkan nama mereka. 

3. Lagu popular

Nama Eda mungkin kurang dikenali melainkan penduduk negeri Kelantan kerana dia lebih banyak terlibat dengan persembahan muzik di sana.

Namun populariti lagu berjudul Cinta Setandan Pisang telah melonjakkan nama Eda dan rakan duetnya iaitu Den Manjo di seluruh Malaysia.

Malah lagu ciptaan Eddie Hamid itu terus mendunia di seluruh negara sehingga meraih lebih 30 juta tontonan di YouTube selain sering digunakan sebagai muzik latar hantaran media sosial.

Restoran milik Eda di Kelantan. 

4. Miliki restoran

Selain aktif menyanyi, Eda juga dipercayai ada mengusahakan sebuah restoran makanan tempatan di Kota Bharu, Kelantan.

Menerusi perkongsian di laman sosial miliknya sebelum ini, restoran berkenaan diberi nama Eda Ezrin Station.

Bagaimanapun akaun Facebook rasmi restoran berkenaan sudah tidak lagi aktif sejak dua tahun lalu sekali gus tidak dapat dipastikan sama ada kedai makan itu masih beroperasi atau sebaliknya.

Eda mula jalani tahanan sejak November tahun lalu. 

5. Sembilan bulan penjara

Kisah Eda menjadi perhatian ramai apabila berita penahanannya tersebar luas.

Eda menjalani tahanan selama sembilan bulan dan akhirnya dibebaskan pada Rabu selepas didapati tiada bukti kukuh yang mengaitkan dia dan lima individu lain dengan pemilikan 6,059 pil methamphetamine yang ditemui di sebuah bilik hotel di Sungai Kolok pada November tahun lalu.

Lima individu lain yang turut dibebaskan ialah suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35; Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26.

Kesemua mereka sebelum ini didakwa atas tuduhan pemilikan dadah, namun rakaman CCTV menunjukkan dadah tersebut dibawa masuk oleh tiga individu lain yang tidak termasuk dalam kalangan tertuduh.

Mahkamah bagaimanapun mendapati kesemua tertuduh bersalah atas tuduhan penggunaan dadah dan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda sebanyak 4,000 baht setiap seorang.

Hukuman tersebut dianggap telah dilunaskan kerana mereka telah ditahan sejak November dan menunjukkan tingkah laku baik sepanjang tempoh tahanan.

Eda dibebaskan pada Rabu. 

6. Kisah dalam penjara

Sejak berada di Penjara Wilayah Narathiwat, Eda memberitahu dia mengalami penurunan berat badan selain tidak lena tidur setiap kali memikirkan hari keputusan perbicaraan.

Eda juga memaklumkan dia sudah mampu memahami Bahasa Thai selepas mengikuti kelas selain banyak menghabiskan masa mengaji al-Quran.

Malah awal bulan lalu, pihak penjara terpaksa menafikan khabar angin selepas Eda dikatakan memfailkan perceraian terhadap suaminya yang turut ditahan di fasiliti sama.

Pengarah Penjara, Surin Chantep berkata, penyanyi berusia 30 tahun itu tidak membuat sebarang permohonan fasakh, bertentangan dengan dakwaan yang tular baru-baru ini.

Eda antara pempengaruh dikenali di Kelantan. 

7. Eda mahu aktif menyanyi, bapa minta bertenang

Terkenal dengan lagu Cinta Setandan Pisang, Eda pernah berazam untuk meneruskan karier nyanyian sebaik dibebaskan.

Eda juga sebelum ini menyatakan harapan agar peminat terus menyokongnya dan memberi peluang untuk kembali berkarya selepas dibebaskan.  

Bagaimanapun bapa penyanyi itu meminta anaknya berehat buat seketika daripada bidang nyanyian selepas dihubungi oleh komposer Eddie Hamid.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain