PENYANYI Hael Husaini tampil bertenaga menerusi konsert sulungnya iaitu Hael Husaini and The Repertoire yang berlangsung penuh meriah di Zepp Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Konsert berdurasi dua jam setengah itu bukan sekadar menghimpunkan karya terbaik ciptaan Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 38, tetapi turut menjadi perayaan istimewa mengimbau perjalanan kerjaya sepanjang 11 tahun bergelar anak seni.
“Konsert ini adalah manifestasi kepada segala jatuh bangun saya dalam bidang muzik.
Konsert sulung Hael berakhir dengan jayanya.
“Ia bukan sekadar persembahan, tetapi lambang penghargaan saya kepada peminat, rakan-rakan artis, dan semua yang mempercayai saya sejak awal,” katanya.
Mengangkat konsep repertoire sebagai tema, Hael bukan sahaja mempersembahkan rangkaian lagu hit nyanyiannya, malah karya ciptaan yang pernah dipopularkan penyanyi hebat seperti Dayang Nurfaizah, Nadeera, Nabila Razali dan Wany Hasrita.
Keempat-empat penyanyi tersebut juga turut hadir membuat persembahan pada malam berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pengurus Hael Husaini didakwa seleweng RM28,000
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada keperluan upah ‘bodyguard’, Hael Husaini cuma ada pemandu peribadi
Hael turut menunaikan janji memberi ruang kepada bakat baharu kumpulan Aplha membuat persembahan istimewa menerusi lagu Lara, yang asalnya dinyanyikan bersama Haqiem Rusli dan Naim Daniel.
Paling mencuri tumpuan pada konsert tersebut adalah kemunculan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, membuat kejutan dengan mendendangkan lagu hit ciptaan Hael sendiri, Anta Permana.
Penonton yang hadir tidak berhenti bersorak apabila Siti tampil di atas pentas menggamatkan suasana sekaligus menjadikan malam tersebut suatu yang cukup istimewa.
Hael akhiri konsert dengan lagu Kelentang Kelentong.
Difahamkan, Siti sanggup meluangkan masa seketika untuk memberi sokongan kepada Hael sebelum bergegas menghadiri siaran televisyen yang sudah dijadualkan sebaik sahaja selesai persembahannya itu.
Malam itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon Fattah Amin dan penyanyi Amira Othman yang hadir memberi sokongan.
Secara keseluruhan, lebih 20 lagu dipersembahkan Hael termasuk Jampi, Hari Ini, Penjuara, Diam, Kelentang Kelentong dan Hajat, diiringi muzik secara langsung di bawah pimpinan pengarah muzik Chaan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube