suria

“Saya berdoa muzik dapat memberi impak terhadap segala yang berlaku di dunia” - Harris J

Harris berdoa agar muzik dapat memberi impak terhadap segala yang berlaku di dunia.

PENYANYI antarabangsa, Harris J mengakui tidak terlalu meletakkan harapan tinggi untuk muziknya menembusi pasaran luar negara terutama ketika dunia berdepan pelbagai krisis kemanusiaan termasuk peperangan di Palestin dan Sudan.

Menurut Harris atau nama sebenarnya Harris Jung, 28, dia sedar realitinya kejahatan yang wujud di dunia ini sering kali mengatasi mesej kebaikan yang ingin dibawa dan disebarkan melalui muzik.

“Saya berdoa dan berharap muzik dapat memberi impak terhadap segala yang berlaku di dunia. Namun, saya sedar muzik semata-mata tidak cukup kuat untuk melawan kezaliman. Bagi saya, inilah sebab wujudnya syurga dan neraka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi promosi eksklusif sempena pelancaran album EP terbaharunya, Revival di Petaling Jaya pada Jumaat.

Harris J tampil dengan album EP bertajuk Revival.

Menurut Harris, dia percaya Tuhan itu Maha Adil dan segala kebaikan atau kezaliman yang dilakukan oleh sesiapa sahaja akan diadili di akhirat kelak.

“Jika tiada syurga dan neraka, saya akan hilang pertimbangan. Saya ada kenalan dan ahli keluarga yang tidak percaya kepada Tuhan, tetapi mereka sangat baik.

"Saya sering bertanya, bagaimana mereka mampu terus hidup sedangkan setiap hari kita mendengar penderitaan kanak-kanak di seluruh dunia, dan tidak percaya kepada adanya keadilan?

“Bagaimana mereka mampu menerima hakikat bahawa penjenayah atau pelaku zalim tidak akan dihukum?” katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: "Kasih sayang peminat petanda Allah mahu saya lakukan yang lebih baik" - Maher Zain

ARTIKEL BERKAITAN: Maher Zain Ambil Masa 2 Tahun Rakam Album 'One'

Tambah Harris, kepercayaannya kepada pembalasan Tuhan menjadi sumber kekuatan mental agar tidak terbeban dengan keributan dunia.

“Kalau saya tidak percaya Tuhan akan menegakkan keadilan, mungkin saya sudah berada di hospital mental sekarang. Tetapi kerana kita percaya, kita tahu keadilan pasti tiba.

"Tuhan adalah hakim yang paling adil dan orang jahat pasti menerima balasan setimpal. Itu yang membuatkan saya mampu bertahan,” katanya.

Berkongsi mengenai Revival, Harris menjelaskan EP terbitan Awakening Music itu menjadi penanda kemunculannya semula selepas beberapa tahun menyepi.

EP enam lagu itu mencerminkan kematangan dirinya sebagai artis serta perkembangan peribadi. Ia menampilkan gabungan karya baharu serta lagu ikonik yang disusun semula seperti Qalbi Fil Madinah (menampilkan Maher Zain), O Allah, Salati dan Always Listening.

Harris J teruja dapat kembali ke Malaysia bertemu peminat. 

Single utama Hayati pula hadir dengan video muzik sinematik arahan pengarah filem Perancis-Tunisia, Idris Kheder yang menjalani penggambaran di lokasi indah Granada, Sepanyol.

Harris turut meluahkan keterujaan kembali ke Malaysia untuk bertemu peminat.

“Saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia. Negara ini sentiasa dekat di hati saya dan sokongan peminat di sini menjadi inspirasi terbesar. Saya berharap Revival dapat menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain