suria

Ben Amir intai peluang berlakon di Filipina, gigih belajar bahasa tagalog

Ben mahu melebarkan kerjaya seni di Filipina.

SELEPAS empat bulan berhijrah, pelakon Ben Amir menyimpan hasrat untuk meluaskan kerjaya lakonan di Filipina. 

Ben atau Muhammad Amir Sabaruddin, 35, berkata dia sudah bertemu dengan pihak pengurusan bakat di Filipina selain sedang berusaha mempelajari bahasa tagalog. 

Ben belajar bahasa tagalog daripada warga tempatan di Filipina.

"Saya memang dalam perancangan ingin berlakon di Filipina. Baru-baru ini saya ada hubungi pengurusan bakat di sana, mereka sudah tengok profile saya dan berminat tetapi sudah tentu kalau kita pergi tempat orang, kena cakap bahasa merekalah (tagalog). 

"Saya masih lagi belajar berbahasa tagalog tetapi pihak pengurusan itu beritahu mungkin saya boleh mulakan dengan buat iklan komersial terlebih dahulu (TVC).

"TVC tak ada dialog sangat, insya-Allah perlahan-lahan sebab sekarang saya tak fokus untuk kerjaya lakonan di sana lagi kerana nak tunggu saya fasih berbahasa tagalog dulu," katanya kepada mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Terkena ‘sumpahan Siargao’, Ben Amir sudah bosan rutin kehidupan di KL

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Wanita Filipina tawan hati Ben Amir, keputusan hijrah bukan kerana kekasih

Ben berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Malam Gala Filem Legasi: Bomba The Movie yang diadakan di GSC IOI Mall Putrajaya pada malam Isnin.

Dalam pada itu, Ben memberitahu dia tidak mendaftar untuk menyertai kelas bahasa tagalog sebaliknya hanya belajar berbual dengan warga tempatan. 

Saya memang dalam perancangan ingin berlakon di Filipina.

BEN AMIR

PELAKON

"Sebenarnya ada bahasa kita (Melayu) dan bahasa tagalog yang lebih kurang sama. Intonasi pun lebih kurang, ejaan sama. Tapi saya sedang biasakan diri untuk bercakap seperti perbualan harian dan bukannya seperti belajar daripada buku. 

"Saya belajar bahasa tagalog dengan orang tempatan di sana saja, tidak masuk sebarang kelas. Sembang-sembang dengan makcik, mereka pun suka melihat orang luar sanggup belajar bahasa Filipina. 

"Mereka memang peramah dan suka membantu. Itu antara sifat-sifat orang tempatan di sana yang saya kagumi," ujarnya. 

Pada April lalu, Ben memaklumkan dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke Pulau Siargao, Filipina kerana tidak mahu mengulangi rutin sama setiap hari ketika menetap di Kuala Lumpur. 

Filem terbaharu lakonan Ben, Legasi: Bomba The Movie.

Dalam perkembangan lain, Ben bakal muncul menerusi filem Legasi: Bomba The Movie arahan James Lee dan Frank See. 

Selain Ben, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon termasuk Nas-T, Henley Hii, Hairie Othman, Fad Anuar, Abbas Mahmood dan Nia Atasha. 

Filem Legasi: Bomba The Movie akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 Ogos ini.  

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain