PENAMPILAN kumpulan Dolla dalam muzik video (MV) lagu terbaharu berjudul Question telah menimbulkan perdebatan banyak pihak kerana dianggap tidak mengikut budaya masyarakat Malaysia.
Mengambil maklum perkara tersebut, pihak pengurusan Universal Music Malaysia (UMM) bertindak menurunkan semula MV tersebut di semua platform digital bermula Sabtu.
Pengarah Urusan UMM, Kim Lim, dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas melakukan penelitian semula terhadap keseluruhan kandungan produksi dan maklum balas masyarakat.

Dolla dianggotai Sabronzo (kiri), Tabby dan Angel.
"Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.
"Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.
"Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut adalah langkah yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: "Dolla tolonglah berubah" - Asma’ Harun tegur MV ‘Question’, kecewa peminat turut beri sokongan
ARTIKEL BERKAITAN: Tabby Dolla kuruskan badan demi konsert
Tindakan ini juga susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar tentang penelitian untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.
UMM juga menegaskan bahawa pihaknya komited memastikan setiap perancangan kreatif selepas ini melalui proses semakan yang lebih ketat bagi mengelakkan isu sebegini berulang.
MV lagu Question yang mula dilancarkan pada 6 November lalu mendapat pelbagi reaksi termasuk sesetengah pihak yang kurang senang apabila anggota Dolla iaitu Angel, Sabronzo, dan Tabby dilihat berpakaian kurang sopan.
Bukan itu sahaja persembahan tarian mereka juga dikatakan keterlaluan dan tidak sesuai untuk tontonan umum di Malaysia.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


