PERNAH melalui pengalaman pahit dalam hubungan toksik, pelakon dan penyanyi Athalia mengakui perkara itu memberi kesan mendalam hingga terbawa-bawa ke set penggambaran drama terbaharunya berjudul BF Green Flag.
Athalia atau Athalia Deena Buswani, 22, berkata pengalaman peribadi itu banyak membantunya dalam menjiwai watak yang dibawakan, terutama apabila perlu melakonkan babak yang melibatkan emosi dan penderaan.
"Pengalaman lampau banyak membantu saya untuk menjiwai karakter dalam drama ini. Saya pernah berdepan dengan hubungan toksik. Walaupun saya masih muda, saya dah kena macam-macam.

Athalia pernah berdepan hubungan toksik di usia muda.
"Bila saya terlibat dalam drama ini, ada babak kena marah atau nak dipukul, saya tidak buat-buat perasaan itu. Walaupun pengarah dah cakap 'cut' tapi saya masih lagi dalam ketakutan.
"Drama ini hampir 50 peratus sama dengan kehidupan yang saya pernah lalui," katanya kepada mStar.
Athalia memberitahu meskipun sudah lama melupakan kisah silamnya, penggambaran drama tersebut secara tidak langsung mengembalikan semula memori yang sukar untuk dilupakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Disindir tidak berbakat, anak Sharifah Zarina sedar tak layak menyanyi di pentas pertandingan
ARTIKEL BERKAITAN: Sharifah Zarina sedih tengok anak dikecam teruk, Athalia sampai berkurung dalam bilik
"Bila saya shooting drama ini saya mula terfikir semula apa yang pernah berlaku pada diri saya. Kalau ikutkan saya dah 'tutup buku'.
"Cuma bila perlu berdepan lagi dengan situasi ini walaupun hanya dalam lakonan, kadang-kadang saya terfikir juga. Kawan-kawan banyak tolong saya termasuk rakan pelakon.
"Apa yang saya suka, rakan-rakan pelakon semuanya boleh dipercayai. Saya boleh berkongsi cerita dan meluahkan segalanya. Saya rasa selamat sepanjang berada dalam set penggambaran," ujarnya.
Ada babak kena marah atau nak dipukul, saya tidak buat-buat perasaan itu.
ATHALIA
PELAKON/PENYANYI
Mengulas lanjut, Athalia berkata pengalaman lalu juga membuatkan dirinya kini lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.
Malah, ibunya yang juga pelakon dan penyanyi Sharifah Zarina turut memainkan peranan penting dalam memastikan dia tidak terjebak dengan individu yang salah.
"Sekarang ini saya ada 'bodyguard'. Mama orang pertama akan tahu jika saya kenal dengan lelaki baru. Mama akan tengok Instagram lelaki itu sama ada okay atau tidak.
"Saya tidak akan boleh keluar bersama lelaki sekiranya mereka tidak bertemu dengan mama terlebih dahulu. Bila dah makin besar saya selalu berkongsi cerita dengan mama.
"Mama pun sangat rapat dengan saya. Jadi mungkin disebabkan itu mama jadi lebih tegas kerana tidak mahu saya bertemu dengan lelaki tidak tepat," katanya.

Athalia kini lebih berhati-hati dalam menjalin hubungan cinta.
Dalam perkembangan lain, Athalia bakal muncul menerusi siri original MYTV Originals berjudul BF Green Flag.
Selain Athalia, BF Green Flag turut menampilkan barisan pelakon seperti Syazwan Razak, Azhan Rani, Dafi, Iman Suhana dan Dottie.
Siri drama ini boleh ditonton bermula 13 November ini pada setiap Khamis pukul 12 tengah hari secara eksklusif di MYTV Mana Mana.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


