suria

Makin susut, Aditya kongsi pertemuan terakhir bersama Ammar Zoni sebelum dipindahkan ke penjara paling digeruni

Aditya tenang kongsi keadaan abangnya.

PELAKON Indonesia, Aditya Zoni memberitahu dia sempat bertemu abangnya, Ammar Zoni sebelum aktor itu dipindahkan ke Penjara Nusakambangan, Jawa Tengah Indonesia pada Oktober lalu.

Menurut Aditya, 25, bentuk fizikal Ammar terlihat susut namun masih berada dalam keadaan sihat.

“Alhamdulillah abang Ammar sihat saja. Doakanlah semoga ada berita baik buatnya. 

Aditya sentiasa memberikan sokongan moral kepada abangnya.

"Saya pun sudah lama tidak bertemu dengannya. Kali terakhir sekitar dua bulan lalu, itupun sebelum dia dipindahkan (ke penjara berbeza). Sudah kurus mukanya," katanya kepada mStar.

Aditya berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai di TGV One Utama, pada malam Isnin.

Sebagai adik, Aditya berkata keluarganya tetap memberikan sokongan moral kepada Ammar untuk melalui fasa sukar tersebut. 

ARTIKEL BERKAITAN: Belum kahwin dah minta sijil nikah, Ammar Zoni mahu mudah komunikasi dengan kekasih

ARTIKEL BERKAITAN: Model Malaysia dan pelakon Aditya Zoni cerai talak satu, Yasmine Ow dapat hak penjagaan anak

Namun pada masa sama, dia percaya abangnya perlu bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan.

“Kami selalu menyokong Ammar dan walau apa terjadi, kita harus saling menyokong saudara kita sendiri. 

“Selalu saya katakan pada media di Indonesia, apabila kita terbabit dalam menggunakan bahan terlarang seperti itu, di negara mana pun kita perlu menjalani rehabilitasi.

“Jadi kesalahan menggunakannya juga perlu dihukum atau dipenjarakan. Salah tetap salah dan ia juga perlu diubati,” katanya lagi.

Kami semua adik beradik lelaki tetap semangat untuk terus bangkit.

ADITYA ZONI

PELAKON INDONESIA

Aditya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik berkata isu penyalahgunaan dadah Ammar tidak menjejaskan dirinya mahupun kerjaya seninya.

“Walau sudah banyak sekali yang berlaku dalam keluarga saya, Alhamdulillah kami adik beradik lelaki tetap semangat untuk terus bangkit,” luahnya.

Pada Oktober lalu, Ammar kembali berdepan tuduhan baharu apabila didakwa mengedarkan bahan terlarang kepada banduan lain. 

Ammar sebelum ini didakwa mengedar dadah di dalam penjara.

Kes itu menyebabkan dia dipindahkan ke Penjara Nusakambangan iaitu penjara paling ketat di Indonesia sekali gus dilabel sebagai banduan berisiko tinggi.

Untuk rekod, ini adalah kali keempat Ammar terlibat dalam kes berkaitan penyalahgunaan dadah sejak 2017.

Dalam perkembangan lain, Aditya berkata dia teruja kembali ke Malaysia untuk mempromosikan filem seram pertamanya, Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai yang bakal menemui penonton pada 20 November nanti.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain