SELEPAS lima hari pemergian Akiko Okimura, usahawan dan pempengaruh Ridzuan Ridzokumura akhirnya mempunyai kekuatan berkongsi cerita tentang arwah isterinya.
Gagal menahan sebak, Ridzuan atau Abd Ridzuan Abdul Mutalib, 50, berkata, dia langsung tidak menyedari Akiko terjatuh daripada kondominium mereka kerana sudah tertidur lebih awal.
Bagaimanapun katanya, sebelum tidur sekitar pukul 1 pagi dia terdengar bunyi dentuman namun terlalu penat untuk memeriksa.
"Saya masuk bilik selepas Sky sudah tidur, pukul 1 pagi saya terdengar macam ada dentuman sebab rumah saya sebelah lebuh raya... Memang selalu ada bunyi macam itu kerana kemalangan.
Ridzuan reda dengan pemergian isteri tersayang.
"Biasanya saya dan isteri akan 'check' jika ada sebarang kejadian tetapi pada malam tersebut saya terlalu penat dan terus tidur," katanya.
Ridzuan berkongsi perkara itu menerusi siaran langsung di TikTok miliknya.
Dalam pada itu, Ridzuan memberitahu dia hanya menyedari isterinya tiada apabila bangun pada sebelah pagi.
Ridzuan berkata, dia pada awalnya pelik Akiko tidak melakukan rutin hariannya seperti menyediakan baju dan sarapan sehingga menimbulkan rasa bimbang dalam dirinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sah wanita Jepun maut jatuh bangunan isteri Ridzokumura - Polis
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tiada lagi juadah sahur dan berbuka puasa, Ridzuan Ridzokumura ralat tak dapat penuhi permintaan isteri
Berasa tidak sedap hati, Ridzuan kemudiannya bergegas memanjat tingkap bilik air utama sebelum ternampak isterinya sudah berada di bawah dalam keadaan tertiarap di atas tanah.
"Selepas Sky bersiap untuk ke sekolah, saya terus keluar ke meja makan dan berasa pelik sebab Akiko tidak menyediakan sarapan.
"Saya rasa tak sedap hati dan terus ke bilik sebelah tengok jendela sudah terbuka sebab ia memang rosak," kongsinya.
Cemas melihat tubuh isterinya tertiarap, Ridzuan segera berlari ke bawah untuk memeriksa keadaan isteri sebelum menjerita meminta pengawal keselamatan menelefon pihak polis dan ambulans.
Pasangan ini berkahwin pada 2009.
Menurutnya, arwah disahkan sudah meninggal dunia oleh petugas paramedik yang datang ke tempat kejadian.
"Dia jatuh pada tanah bukan batu. Dia jatuh dari tingkat empat. Saya cuba kejut tapi dia tidak sedarkan diri. Saya tak berani alihkan wajahnya.
"Saya lari naik ke rumah mengambil tuala untuk menutup bahagian yang terdedah kerana dia pakai baju tidur waktu itu.
"Ambulans sampai dan terus periksa keadaan isteri, petugas perubatan maklumkan Akiko sudah tiada lagi," jelasnya.
Pasangan romantik ini sering menjadi perhatian netizen.
Ridzuan bagaimanapun tidak dapat memastikan bagaimana isterinya boleh terjatuh memandangkan dia sedang tidur ketika kejadian berlaku.
"Isteri saya jenis suka mengemas rumah, saya tidak tahu sama ada dia mungkin terjatuh ketika sedang mengemas.
"Saya tidak tahu bagaimana dia boleh jatuh dan ketika insiden itu terjadi saya sudah tidur," katanya.
Pada Selasa Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan wanita warga Jepun yang maut di sebuah kondominium merupakan isteri kepada usahawan berkenaan.
Ridzuan gagal menahan sebak ketika bercerita mengenai insiden tersebut.
Ridzuan pada Jumaat lalu memaklumkan isterinya meninggal dunia namun punca kematian tidak didedahkan.
Jenazah wanita berusia 50-an itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di Subang Jaya pada pagi Sabtu lalu.
Untuk rekod, Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko pada Februari 2009.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura yang kini berusia 13 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!