KOMPOSER yang juga gitaris sebuah kumpulan ditahan polis selepas dipercayai menyerang jirannya dalam kejadian melibatkan pertelingkahan berkaitan pintu bilik air di sebuah rumah sewa di Pandan Indah, Ampang Jaya pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, insiden tersebut berlaku sekitar jam 6.30 pagi pada 30 Jun lalu apabila mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an sedang tidur di bilik sewanya terdengar bunyi pintu bilik air dihempas kuat oleh suspek.
"Mangsa yang tidak berpuas hati keluar dan menghempas semula pintu itu menyebabkan komposer berusia 46 tahun itu yang menyewa di bilik sebelah mangsa keluar semula.
"Mangsa kemudian diserang oleh suspek dengan batang dipercayai pemegang gitar," katanya.
Suspek merupakan gitaris dan dibebaskan dengan jaminan polis. - Gambar hiasan.
Akibat serangan itu, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak mengalami kecederaan pada bahagian lengan dan menerima rawatan di Hospital Ampang.
Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis, dan suspek berusia 46 tahun itu berjaya ditahan pada pukul 4.45 petang hari sama.
Siasatan awal pihak polis dapati kejadian berpunca daripada bunyi kuat akibat pintu bilik air dihempas oleh suspek.
Pengadu dan suspek juga pernah beberapa kali berselisih faham dan bertengkar berpunca daripada masalah bunyi alat muzik yang bising dimainkan oleh suspek sehingga menyebabkan pengadu tidak dapat berehat walaupun telah ditegur berulang kali.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak serik-serik, Roby (Geisha) sekali lagi ditahan kerana dadah... Kali ini dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara
ARTIKEL BERKAITAN: Artis popular ditahan polis, didakwa cabul remaja bawah umur di hotel
Suspek telah dbebaskan dengan jaminan polis setelah percakapannya dirakam pada hari sama ditangkap.
Kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan merujuk kepada dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan merujuk kepada ugutan secara jenayah.
Jika sabit kesalahan dibawah Seksyen 324, hukuman penjara 3 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
Manakala bagi Seksyen 506, memperuntukkan hukuman pemenjaraan yang boleh sampai 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube