SUSULAN kenyataan Awesome TV yang menegaskan tidak bertanggungjawab terhadap pembayaran artis kerana semua program diterbitkan oleh produksi luar, pelawak Mamak Puteh tampil mempertahankan diri.
Mamak atau nama sebenarnya Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad, 41, ketika dihubungi berkata selama ini dia berurusan dengan individu yang difahamkan sebagai pihak sah.
Malah, syarikat produksi yang gagal melunaskan baki bayaran terhadapnya juga didakwa dimiliki oleh salah seorang wakil stesen TV berkenaan.
Mamak terima banyak aduan daripada mangsa lain.
“Ramai yang DM (direct messege) beritahu mereka turut menjadi mangsa. Malah ada yang beri maklumat orang kuat stesen TV itu juga terlibat dalam syarikat produksi yang bertanggungjawab untuk menerbitkan rancangan yang melibatkan saya.
“Jadi tidak salahlah selama ini jika saya minta bayaran kepada individu itu sebab orang yang sama terlibat," katanya kepada mStar.
Mamak mengulas perkara tersebut selepas Awesome TV membuat kenyataan mahu mengambil tindakan saman terhadapnya kerana mengeluarkan kenyataan fitnah.
Dalam siaran media itu pihak stesen berkenaan juga memaklumkan semua program yang disiarkan telah diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar dan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga tahun berhubung dengan Awesome TV, Mamak Puteh baru tahu bayaran perlu dituntut daripada produksi luar… “Kenapa cakap sekarang”
ARTIKEL BERKAITAN: Awesome TV ambil tindakan undang-undang terhadap Amir Raja Lawak, Mamak Puteh dan Abu Mamu
Menurut Mamak, dia mendakwa sudah mengikut saluran yang betul selama tempoh tiga tahun menuntut baki bayaran berjumlah RM18,000.
"Saya mengikut prosedur yang betul. Saya pun tak tahu apa lagi yang harus dibuat untuk menuntut bayaran.
"Kenapa sehingga kini masih tiada jawapan? Itu yang menjadi persoalan dalam diri saya," ujarnya.
Dakwa Mamak, dia juga menyimpan semua bukti perbualan serta maklumat perbincangan terdahulu dengan pihak berkenaan.
Sudah tiga tahun Mamak menuntut baki bayaran.
Dia juga memberitahu masih belum menerima sebarang surat saman daripada Awesome TV selepas pihak mereka mengeluarkan kenyataan pada Khamis.
"Belum dapat sebarang surat," jawabnya ringkas.
Selain Mamak Puteh, Amir Raja Lawak dan Abu Mama difahamkan turut menerima nasib sama iaitu tindakan undang-undang daripada stesen TV itu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube