PELAKON Sophia Albarakbah tampil menjelaskan punca dia membuat laporan polis berhubung isu buli siber dan gangguan seksual yang dialaminya sejak kebelakangan ini.
Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, menegaskan keputusan itu bukan kerana ingin meraih publisiti, bersikap dendam atau mahu mempertahankan sesuatu yang salah, sebaliknya demi keselamatan dan maruah dirinya sebagai seorang wanita.
“Saya tahu ada yang bertanya, kenapa saya buat laporan polis? Bitter? Gila publisiti? Tegakkan benang basah? Tidak!
Sophia ketika selesai membuat laporan polis pada petang Jumaat lalu.
“Tapi sebab buli siber dan gangguan seksual bukan perkara main-main. Ini bukan gurauan atau ‘just comments’,” katanya.
Sophia berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Sabtu.
Dalam pada itu, kata Sophia, dia sudah menerima ribuan mesej dan komen berunsur fitnah, lucah, hinaan serta ugutan daripada pelbagai pihak sehingga menjejaskan emosi dan maruahnya.
Malah aktres itu turut memuat naik bukti tangkap layar perkara tersebut benar-benar berlaku.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sophia Albarakbah buat laporan polis, dakwa jadi mangsa buli siber lucah dan ugutan seksual… “Ada yang mahu hantar santau”
ARTIKEL BERKAITAN: “Allah pun boleh ampunkan hamba-Nya” - Sophia Albarakbah balas herdikan netizen
“Bagi sesetengah orang ia mungkin perkara kecil, tetapi bagi saya kata-kata itu melukakan, meninggalkan kesan mendalam, merosakkan emosi dan menjatuhkan maruah saya sebagai wanita dan manusia.
“Saya kongsi beberapa tangkap layar mesej dan komen yang diterima… ini cuma sebahagian kecil, yang lain jauh lebih teruk. Saya bukan nak memalukan sesiapa, tetapi mahu tunjuk realiti yang berlaku di alam maya,” ujarnya.
Tambah Sophia, tindakan membuat laporan polis itu juga bagi memberi mesej jelas wanita berhak mendapat perlindungan di bawah undang-undang.
“Ini bukan soal membalas dendam. Ini soal perlindungan, keselamatan dan maruah. Diam tidak akan mengubah apa-apa.
“Kepada semua yang pernah melalui perkara sama, anda tidak keseorangan, dan kepada mereka yang masih menyebarkan kebencian, ingatlah… kata-kata anda boleh meninggalkan parut yang tidak akan hilang,” katanya.
Antara tangkap layar yang dikongsi Sophia.
Pada petang Jumaat, Sophia hadir ke Balai Polis Travers, Kuala Lumpur untuk membuat laporan rasmi berhubung insiden tersebut.
Sebelum ini, Sophia meluahkan rasa kesal apabila kisah silamnya yang dikaitkan sebagai orang ketiga dalam rumah tangga penyanyi Bella Astillah dan pelakon Aliff Aziz kembali diperkatakan sehingga mencetuskan semula kecaman netizen.
Aktres itu menegaskan isu tersebut sudah lama berlalu dan tidak wajar diungkit, malah kecewa apabila tidak pernah diberi peluang kedua sebaliknya terus dihina.
Kecaman terhadap Sophia kembali memuncak selepas insiden kekok di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) pada malam Ahad lalu ketika Bella menyampaikan trofi bagi kategori yang dimenangi pelakon itu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube