suria

[V] Da’i Syed menangis, gagal rayuan… Hukuman penjara dan sebat kekal

PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed kekal bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita pada tahun 2019 selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhi terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen.

Sehubungan itu, hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan yang diputuskan sebelum ini dikekalkan.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Adlin Abdul Majid terhadap Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dalam prosiding rayuan.

Menurutnya, mahkamah mendapati keputusan Hakim Mahkamah Sesyen adalah berasaskan keterangan yang kukuh serta penilaian tepat terhadap keseluruhan kes pendakwaan dan pembelaan.

Syed tiba di mahkamah ditemani ibu (kiri) dan isteri. 

“Setelah meneliti keseluruhan hujahan serta rekod perbicaraan, mahkamah mendapati tiada kekhilafan dalam keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen.

“Hukuman adalah munasabah dan setimpal dengan kesalahan dilakukan. Oleh itu, hukuman dikekalkan dan berkuat kuasa bermula hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, Syed diwakili peguam bela, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, memohon agar hukuman ditangguhkan atas alasan isteri tertuduh baru sahaja tiga bulan bersalin dan anak mereka masih kecil.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman, mewakili pihak pendakwaan, berpendapat bahawa alasan yang dikemukakan perayu tidak kukuh untuk menangguhkan hukuman.

ARTIKEL BERKAITAN: Da'i Syed dihukum penjara 10 tahun, tiga sebatan kerana merogol… Isteri sedang berpantang menangis dengar keputusan 

ARTIKEL BERKAITAN: Kurang sebulan jalani hukuman penjara, Da’i Syed dilepaskan sementara… Rayuan kes rogol 24 September

Mahkamah tidak membenarkan penggantungan hukuman kerana kesalahan yang dilakukan amat serius dan memberi impak besar kepada mangsa.

Sementara itu, Syed dilihat menangis ketika berada di kandang tertuduh sebaik sahaja keputusan mahkamah dibacakan.

Untuk rekod, pada 10 Disember 2020, Syed mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun ketika kejadian di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.

Atas pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menolak rayuan Syed. 

Pada 30 Ogos tahun lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed Shah Iqmal selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh dilepaskan sementara bermula 20 September 2024 sehingga prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Sebelum ini, peguam bela Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff berhujah tiada kejadian rogol berlaku dan mendakwa hubungan seksual itu berlaku atas persetujuan mangsa.

Pihak pembelaan turut mempersoalkan pendirian pendakwaan selain menegaskan pembelaan Syed Shah Iqmal kekal konsisten sejak awal prosiding.

Sementara itu, pihak pendakwaan menegaskan mangsa tidak pernah memberikan persetujuan terhadap hubungan seksual tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain