BUKAN kisah rekaan sebaliknya filem Gayong diinspirasikan daripada kisah Pengasas Silat Gayong iaitu Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) dalam mempertahankan maruah bangsa.
Filem ini juga mengisahkan perjalanan Allahyarham bangkit mempertahankan tanah air ketika diancam penjajah suatu ketika dahulu.
Menurut Penerbit Eksekutif Gayong, Khairul Anuar Latip, dia melakukan penyelidikan mendalam sejak Disember 2023 selain turut mendapatkan persetujuan anak perempuan dan cucu Allahyarham sebelum menjalani penggambaran filem ini.
Antara babak yang terdapat di dalam filem Gayong.
Katanya sepanjang penghasilan filem ini, mereka juga mendapatkan kerjasama daripada pertubuhan silat seni gayong Malaysia (PSSGM).
“Pihak PSSGM sentiasa berhubung dengan kami dalam segala urusan produksi termasuklah memberikan khidmat nasihat dengan menghantar beberapa ahli pertubuhan silat gayong sendiri ke lokasi untuk memastikan aksi persilatan yang dilakukan tidak tersasar dari gerak seni silat gayong itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, pengarahnya, Faisal Ishak berkata filem yang diinspirasikan daripada kisah seorang tokoh persilatan terkemuka bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan.
ARTIKEL BERKAITAN: Hanya ada sebulan dapat tubuh sasa, Beto Kusyairy upah PT dan makan 10 biji telur sehari demi ‘Gayong’
ARTIKEL BERKAITAN: Sedar diri berpijak di bumi nyata, Beto Kusyairy tak kejar anugerah luar negara
Katanya, cabaran yang dihadapi bukan sekadar dalam aspek teknikal dan produksi, tetapi lebih kepada memastikan ketulenan dan penghormatan terhadap warisan tokoh berkenaan.
“Sebagai pengasas seni silat Gayong, arwah bukan sahaja seorang pendekar, tetapi guru yang membawa falsafah mendalam tentang ilmu persilatan dan kehidupan.
“Jadi, saya perlu memastikan jalan ceritanya menangkap semangat, perjuangan dan pengorbanan beliau dalam memperjuangkan seni silat Gayong,” jelasnya.
Nabila Huda antara pelakon yang memeriahkan Gayong.
Bagi memastikan filem Gayong dihasilkan dengan lebih mantap, Faisal memberitahu setiap barisan pelakon telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan Pengarah Aksi iaitu Yayan serta jurulatih Silat Gayong yang berpengalaman.
Menurutnya, ia adalah langkah penting bagi memastikan setiap gerakan, teknik, dan falsafah silat dipersembahkan dengan autentik dan penuh penghormatan terhadap warisan tersebut.
Malah dia juga mahu filem arahannya itu menjadi satu penghormatan buat seorang legenda yang telah mewariskan ilmu yang begitu berharga.
Gayong dapat kerjasama daripada pelbagai pihak.
“Latihan yang dibuat bukan sekadar mengajar mereka pergerakan asas, tetapi juga membantu pelakon memahami disiplin, struktur gerakan, serta semangat yang terkandung dalam setiap jurus dan langkah Gayong," ujarnya.
Bakal ditayangkan pada 8 Mei nanti, filem ini dibintangi Beto Kusyairy, Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhan dan ramai lagi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!