suria

Tak puas hati dapat kad merah, pemain bola sepak tanduk pengadil! Mangsa hilang dua batang gigi, alami pendarahan teruk di hidung

Tindakan ganas pemain San Lorenzo itu berjaya dirakam.

MALANG bagi seorang pengadil perlawanan bola sepak apabila dia bukan sahaja dihina, malah hilang dua batang gigi selepas ditanduk pemain.

Insiden tersebut berlaku ketika perlawanan akhir divisyen simpanan antara San Lorenzo dan Central Molino di Maldonado pada Rabu.

Berdasarkan laporan, pengadil bola sepak di Uruguay itu melayangkan dua kad merah terhadap dua pemain San Lorenzo kerana menghina pengadil.

Tindakannya itu mengundang rasa tidak puas hati pasukan seterusnya mendorong seorang lagi pemainnya bertindak menyerbu dan menanduk muka pengadil yang dikenali sebagai Alexis Ferreira.

Akibat serangan itu, Ferreira terhuyung-hayang ke belakang dengan darah mengalir daripada hidung dan mulut. 

Dia kemudian mengesahkan kehilangan dua batang gigi serta mengalami pendarahan hidung yang teruk hingga memerlukan rawatan segera.

"Saya kehilangan gigi, berdarah banyak dan rasa pening. Ia sangat dahsyat, tapi nasib baik rakan-rakan pengadil dan pemain lawan segera membantu,” katanya selepas kejadian.

Ferreira turut berterima kasih kepada persatuan pengadil tempatan dan presiden kelab atas sokongan mereka, sambil memberi amaran tentang peningkatan kes serangan terhadap pengadil di Maldonado.

Susulan kejadian, pemain terbabit hadir ke Pejabat Pendakwa Raya di Maldonado pada Isnin.

Peguamnya mendakwa tindakan itu berpunca daripada permusuhan lama antara mereka dan memaklumkan anak guamnya telah memohon maaf serta bersedia menanggung kos rawatan Ferreira.

Dalam pada itu, Presiden Liga Promosi Maldonado, Alfredo Isnardi, menyifatkan serangan itu sebagai tahap keganasan yang belum pernah berlaku dan mengumumkan pemain terbabit akan diharamkan daripada bermain bola sepak di Maldonado dan seluruh Uruguay.

Sebagai tanda protes, Liga Utama Maldonado dan kesatuan pengadil tempatan turut menggantung baki musim ini, manakala tindakan disiplin terhadap kelab San Lorenzo masih dipertimbangkan.

Berdasarkan rekod, lebih lima kes serangan ke atas pengadil dilaporkan tahun ini di Uruguay. -Agensi

Artikel Lain

Daddy Rock meninggal dunia