PELAKON Faye Kusairi menasihati mana-mana pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga terutamanya selebriti untuk tidak mendedahkan sebarang masalah dilalui mereka di media sosial.
Menurut Faye atau Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 38, sekiranya dihebohkan ia akan memanjangkan isu berkenaan malah akan mengaibkan pasangan dan keluarga mereka.
“Saya percaya dalam perkahwinan ni ada peringkat, pada awal ni untuk saling kenal mengenali diri masing-masing kemudian nak sesuaikan dengan pasangan dan keluarga pula.
“Lepas tu akan diuji dengan kewangan, ada dua akan diuji suami berduit dan suami tidak berduit… fasal isu RM500 tu kalau boleh cuba untuk elak cerita di media sosial la sebab bukan saja yang tonton tapi ada pelbagai lapisan umur dalam kalangan masyarakat.
“Tak elok terutama kalau dikenali macam selebriti sebab sedikit sebanyak akan berikan pengaruh, kalau bab duit tu boleh cari tapi sekarang ni bukan isu duit dibangkitkan tapi macam mana uruskan situasi tu, jadi bila nak berkahwin maka level pemikiran kematangan kena tinggi,” katanya kepada mStar.
TONTON VIDEO PENUH TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI