PELAWAK dan penyampai radio Johan memberitahu dia kini memperlahankan karier seninya demi memberikan fokus kepada bidang perniagaan sedang diusahakan iaitu restoran Itik ke Ayam.
Berkongsi perkara itu, Johan atau Mohammad Yazid Lim Mohammad Aziz, 41, berkata keputusan itu dibuat bagi persediaan awal sekiranya namanya tidak lagi diterima dalam dunia penyiaran radio mahupun komedi.
“Saya fikir apa lagi saya nak buat selepas ini kalau saya tinggalkan dunia penyiaran radio, ini antara langkah yang saya ambil dengan wujudkan perniagaan dan antaranya restoran Itik ke Ayam tu.
“Sebenarnya banyak juga langkah dan persediaan lain yang saya lakukan antara lain kolaborasi dengan GGR Motor yang merupakan perniagaan tambahan buat saya, selagi ada rezeki dan duit saya akan usahakan.
“Saya memang lebih kepada perniagaan tapi kalau untuk muncul ke depan tu tidak selalu sebab sekarang ni influencer banyak jadi saya bekerjasama juga dengan mereka (TikToker) untuk sama-sama naik,” katanya kepada mStar.
Dalam perkembangan lain, Johan juga telah bekerjasama dengan GGR Motor menerusi program EV Rider Malaysia 2025 yang kini fokusnya ke arah motorsikal elektrik (EV), selain itu terdapat beberapa artis terlibat iaitu Farid Kamil, Cat Farish, Nabil Ahmad dan Ajak Shiro.
TONTON VIDEO TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI