suria

Mak ayah jangan beria paksa anak puasa, kena didik... UAI perjelas cara betul ikut Islam

Ibu bapa tidak boleh memaksa anak-anak berpuasa penuh.

TINDAKAN melatih kanak-kanak berpuasa pada bulan Ramadan dengan tujuan untuk membiasakan mereka melakukan rukun Islam keempat adalah sangat digalakkan.

Pun begitu, ibu bapa dinasihatkan agar tidak terlalu optimis sehingga memaksa anak-anak mereka berpuasa penuh sepanjang hari seperti orang dewasa.

Menurut pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus, cara terbaik untuk mendidik mereka mengenai kewajipan itu adalah dengan membenarkan mereka berpuasa mengikut kemampuan sahaja.

Ini kerana, kanak-kanak tidak wajib untuk berpuasa daripada segi syarak memandangkan mereka belum cukup syarat iaitu mencapai usia baligh.

Melatih anak-anak berpuasa digalakkan dalam Islam.

"Moleklah kalau begitu (latih puasa), yang tak molek adalah apabila kita memaksa anak-anak kita. 

"Umur mereka baru sahaja enam tujuh tahun, tapi dipaksa untuk puasa penuh.

"Maksud latih, bukannya suruh puasa dari Subuh sampai Maghrib. Maksud latih adalah sampai mana anak-anak mampu berpuasa," katanya menerusi satu klip ceramah yang dikongsi di TikTok.

Dalam pada itu, Azhar turut menjelaskan masa yang sesuai untuk melatih anak-anak adalah apabila mereka menginjak usia tujuh tahun.

"Ianya bukan sunnah tetapi kalau sesiapa yang sudah melatih anak mereka sejak umur lima ke enam tahun, tak ada masalah dan dibolehkan. Tetapi yang afdal adalah bermula usia tujuh tahun," jelasnya.

Artikel Lain