suria

‘Lompong’ semasa Ramadan, boleh ke puasa 6 bulan Syawal? Ini cara terbaik boleh dilakukan

Puasa sunat 6 Syawal antara amalan yang boleh dilakukan selepas sambutan Aidilfitri. -Gambar hiasan

BULAN Syawal sering dipenuhi dengan undangan rumah terbuka dan majlis keraian Aidilfitri. 

Walaupun begitu, ramai juga melakukan ibadah sunat dengan berpuasa enam.  

Mereka yang ‘lompong’ puasanya pada Ramadan mesti tertanya-tanya sama ada perlu qada (ganti) terlebih dahulu atau sebaliknya jika mahu berpuasa enam.

Berikut penjelasan pendakwah, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berhubung keperluan qada puasa Ramadan dan puasa sunat enam Syawal. 

“Puasa enam boleh dibuat sekali dengan puasa qada. Ulama-ulama berbahagi dua dalam masalah ini. 

“Pendapat yang pertama tidak boleh, iaitu mesti dibuat asing… suku-suku, maksudnya qada hari lain dan sunat hari lain. 

“Pendapat kedua, boleh digabungkan dalam satu hari, kita niat dua iaitu puasa qada Ramadan dan sunat Syawal. Dapat dua-dua,” jelasnya. 

Menurut UAI, kedua-dua pandangan itu dibuat oleh imam-imam yang mujtahid dan muktabar. 

Susulan itu, umat Islam dibenarkan untuk mengikut salah satu daripada pendapat berkenaan. 

“Nak ikut mana-mana pun boleh, yang terbaik adalah kita asingkan kerana lebih banyak hari kita berpuasa,” tambahnya. 

Cara niatnya adalah “Sahaja aku berqada puasa Ramadan esok hari dan puasa sunat Syawal kerana Allah Taala”.

Artikel Lain