suria

Seronok ziarah sana sini, ramai tak sedar lakukan 5 dosa ini ketika beraya

Rumah terbuka dapat mengeratkan silaturahim. -Gambar hiasan

SUDAH menjadi tradisi, Hari Raya Aidilfitri diraikan selama sebulan seiring dengan puasa Ramadan yang dilaksanakan pada bulan sebelumnya.

Berdasarkan syariat, sambutannya hanya pada 1 Syawal.

Namun tidak menjadi kesalahan untuk ziarah-menziarahi sepanjang bulan mulia ini kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan diharuskan dalam Islam. 

Tambahan pula, menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh Rasulullah.

Bagaimanapun, dalam kemeriahan sambutan, pastinya ada yang terleka dan terlepas pandang tatkala bertemu sanak saudara serta rakan taulan.

Justeru, pendakwah bebas, Ustazah Asma' Harun menggariskan 10 perkara yang cenderung dilakukan umat Islam ketiika hari raya sehingga akhirnya terjerumus ke lembah dosa.

Tetamu yang hadir perlu menjaga batas pergaulan dan adab susila. -Gambar hiasan

Tetamu yang hadir perlu menjaga batas pergaulan dan adab susila. -Gambar hiasan

Berikut antara lima perkara yang ditegaskan beliau menerusi hantaran di laman Facebook.

1. Mendedahkan Aurat

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar).

"Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. 

Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (al-Ahzab:59)

2. Meninggalkan Solat

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Yang membezakan seseorang Islam dengan syirik dan kafir itu ialah meninggalkan solat.” (HR Muslim, Hadis Sahih)

Sesetengah individu gemar mempamerkan hiasan emas ketika menghadiri sesuatu majlis. -Gambar hiasan

Sesetengah individu gemar mempamerkan hiasan emas ketika menghadiri sesuatu majlis. -Gambar hiasan

3. Derhaka kepada orang tua

Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’:23 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.”

Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?”

Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” [Riwayat Muslim (2551)]

Daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat mereka pada hari kiamat; anak yang derhaka kepada orang tua, wanita yang menyerupai lelaki, dan Dayyuts, iaitu seorang yang merelakan keluarganya berbuat kekejian. Dan tiga golongan mereka tidak akan masuk syurga; anak yang derhaka kepada orang tua, penagih arak, dan orang yang selalu mengungkit-ungkit pemberiannya.” (HR An-Nasaie, hadis sahih)

4. Bertabarruj

Imam al-Syaukani menyatakan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya)

Firman Allah SWT “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.” (Surah al-Ahzab : 33)

5. Mengumpat

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” (HR Muslim, hadis sahih)

Artikel Lain