MAKANAN berkuah seperti gulai lemak dan kari antara hidangan yang sering dimakan kebanyakan rakyat Malaysia.
Ada yang gemar makan lauk ini pada waktu tengah hari sebelum menyambung semula tugas di pejabat.
Lazimnya, makanan berkuah seperti itu mudah terpercik pada pakaian dan meninggalkan kesan tompokan.
Sebagai umat Islam, anda pasti akan berasa was-was sama ada kotoran pada baju itu boleh dibawa solat atau sebaliknya.
Bagi merungkaikan permasalahan ini, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskannya secara terperinci.
Menurutnya, terdapat dua pandangan berhubung perkara ini.
"Apabila beli daging setompok, wajib basuh dulu kerana darah di atasnya haram dimakan. Setelah dibasuh, dalam daging masih ada darah kerana tidak dibelah, kita terus masuk dalam gulai.
"Darah itu keluar ketika dimasak, kemudian masuk (bercampur) ke dalam gulai... darah itu dimaafkan untuk dimakan.
"Dimaafkan untuk makan, tetapi ia tidak dimaafkan pada pakaian untuk solat, wajib basuh kalau Fiqh Syafie jika memang ada darah di dalam daging.
"Pendapat kedua tidak kuat, dimaafkan pada makan, juga dimaafkan pada pakaian, jadi luas," jelas beliau.
Dalam pada itu, UAI menyeru orang ramai supaya tidak menjumutkan pemikiran berhubung situasi yang berlaku dan menerima pandangan yang telah ditetapkan dalam mazhab.
"Perkara yang luas tu jangan disempitkan, ia pendapat yang kuat di sisi mazhab," tegasnya.