MENJELANG musim haji, pasti para jemaah akan membuat pelbagai persediaan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Antara persiapan tersebut termasuklah dari segi kesihatan, ilmu agama dan sebagainya untuk memastikan kelancaran ibadah di Tanah Suci.
Namun, ramai jemaah terlepas pandang aspek perancangan harta pusaka (estate planning) sebelum berangkat.
ARTIKEL BERKAITAN: Suhu di Makkah mungkin cecah 50 darjah Celsius! Ini tip untuk jemaah haji elak strok haba
Memandangkan ibadah haji melibatkan perjalanan jauh dan terdedah dengan kemungkinan berlakunya perkara di luar jangkaan, penulisan dokumen wasiat sebelum berangkat ke Tanah Suci dianggap sebagai sebahagian daripada persiapan rohani dan praktikal.
Instrumen wasiat bukan sekadar dokumen undang-undang, bahkan menjadi langkah untuk melindungi orang tersayang dan memastikan amal jariah kita diteruskan, sebagai bekalan akhirat.
Golongan muda dilihat paling tidak bersedia, terutamanya jika mereka mengembara sendirian atau bersama pasangan kerana ada yang memandang remeh perkara ini kerana menganggap wasiat sinonim dengan golongan tua dan kaya.
Ada pula yang tidak tahu bagaimana untuk bermula, malah ada juga yang langsung tidak terfikir mengenainya.
Wasiat akan memudahkan waris membuat pengagihan harta. -Gambar hiasan
Namun tidak kurang juga ada yang beranggapan undang-undang faraid sudah menetapkan agihan pusaka.
Hakikatnya Islam sendiri sangat menggalakkan penulisan wasiat, khususnya apabila seseorang itu akan memulakan perjalanan yang jauh kerana dianggap sebahagian daripada persiapan rohani dan praktikal.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Tidak harus bagi seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, bermalam selama dua malam melainkan wasiatnya telah ditulis di sisinya" (Sahih al-Bukhari (2738), Sahih Muslim (1627)
Menyedari tidak ramai yang mempunyai kesedaran membuat persiapan penulisan wasiat sebelum menunaikan haji, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Trustees Berhad, Nor Fazlina Mohd Ghouse tampil memberi penekanan akan kepentingan perkara tersebut.
"Selagi kita masih hidup, segala urusan akan kita kendalikan. Namun, siapa yang akan mengambil alih urusan tersebut setelah pemergian kita?
"Wasiat bukan sekadar dokumen undang-undang. Ia merupakan instrumen yang memastikan pengurusan harta pusaka dilakukan terlebih dahulu sebelum pengagihan kepada orang tersayang atau untuk amal jariah yang berterusan dapat dilaksanakan," ujarnya.
Di Malaysia, ketiadaan wasiat bertulis boleh menyebabkan proses pentadbiran harta pusaka menjadi lebih panjang.
"Akaun boleh dibekukan. Waris mungkin tidak tahu di mana dokumen penting disimpan. Lebih teruk, pertikaian keluarga boleh berlaku apabila pengurusan dan pengagihan harta tidak dilakukan dengan jelas," ujarnya lagi.
Penyediaan wasiat tidak semestinya rumit, tetapi ia perlu disediakan dengan betul.
Berikut merupakan panduan mengenai perkara yang perlu dimasukkan dalam penyediaan dokumen wasiat:
1. Melantik wasi – individu atau entiti yang dipercayai untuk melaksanakan hasrat anda
2. Melantik penjaga – untuk anak bawah umur, jika berkaitan
3. Hutang tertunggak – termasuk zakat dan tanggungan lain
4. Pengagihan harta – Wasiat membolehkan anda menyatakan agihan ini mengikut hasrat anda sama ada pembahagian kepada waris bukan faraid atau tidak mengikut faraid (yang mana memerlukan persetujuan waris faraid). Tanpa persetujuan, agihan tersebut akan kembali kepada pembahagian mengikut faraid sebagai penyelesaian akhir.
Sementara itu, anda juga disarankan menyenaraikan aset dan liabiliti termasuk geran harta, nombor akaun bank, polisi insurans, dan kata laluan penting.
Senarai ini tidak perlu dimasukkan ke dalam dokumen wasiat, tetapi wajar disimpan dengan selamat, contohnya bersama wasi dan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Wasiat dapat mengelakkan pertikaian harta dalam kalangan waris. -Gambar hiasan
Terdapat beberapa pilihan di Malaysia dalam penyediaan dokumen wasiat iaitu:
1. Trustee atau pelaksana profesional yang dimiliki atau disokong oleh institusi perbankan, seperti Maybank Trustees Berhad yang turut menyediakan perkhidmatan penulisan wasiat Islam dan konvensional.
2.Firma guaman
3. Platform digital, tetapi pastikan ia mematuhi undang-undang Malaysia.
Ternyata penyediaan dokumen wasiat begitu penting kerana ia boleh mengundang implikasi di kemudian hari seperti:
1. Anda tiada kuasa melantik siapa yang menguruskan pusaka.
2. Anda tidak boleh peruntukkan apa-apa kepada bukan waris faraid seperti anak angkat, menantu, atau badan kebajikan.
3. Tinggalkan pihak lain tertanya-tanya mengenai perkara seperti hutang, pengebumian, aset dan sebagainya.
4. Berisiko menyebabkan kelewatan dan pertikaian
Menulis wasiat bukan tanda berfikiran negatif sebaliknya tanda persediaan yang bijak.
"Seperti mana anda semak pasport dan kemas beg, ini juga sebahagian daripada senarai semak sebelum berangkat ke Tanah Suci.
"Dan paling penting, ia memberi ketenangan kepada anda, pasangan, anak-anak, dan sesiapa yang penting dalam hidup anda. Anda telah laksanakan tanggungjawab," akhirinya.