suria

Bakal pengantin 'masuk korban' terkedu MUA cukur bulu roma pada wajah, ini pantang larang peserta perlu tahu

Salah satu 'pantang larang' bagi individu yang melakukan ibadah korban adalah tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku. -Gambar hiasan

KURANG tiga minggu sahaja lagi, umat Islam akan meraikan Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha.

Bagi mereka yang bakal melaksanakan ibadah korban, terdapat beberapa pantang larang tertentu yang perlu dijaga apabila masuknya 1 Zulhijah sehingga haiwan korban masing-masing disembelih sepanjang empat hari Aidiladha.

Salah satu daripadanya, individu yang melakukan ibadah korban dianjurkan untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku.

Ia seiring dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sesiapa yang memiliki haiwan korban untuk disembelih, apabila kelihatan anak bulan Zulhijah, maka janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban." (Hadis Riwayat Muslim)

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan pandang ringan! Ambil tahu larangan-larangan sebagai pelaku ibadah korban

Di laman sosial, seorang wanita tampil berkongsi kisahnya yang nyaris 'terlanggar' pantang larang tersebut gara-gara tindakan jurusolek yang diupah untuk menata rias wajah ketika majlis pernikahannya.

"Masa make-up nikah, aku paling terkejut bila MUA aku tiba-tiba shave bulu halus atas bibir tu. Kita tak ada perjanjian untuk shave ke apa, tahu-tahu dia tengah shave.

"Dia cakap 'jangan risau nanti bulu tumbuh macam biasa, tak tebal'. Mungkin sebab dia nampak mata aku terbeliak kot.

"Yang dirisaukan masa tu, aku nikah nak dekat Raya Haji dan kita adalah pencarum korban tahun tu. Kita kan ada pantang larang korban yang kena ikut. Sumpah terus speechless.

"Asalnya tarikh nikah aku bulan Raya Haji, bulan Zulhijah, tapi aturan Allah cantik, aku nikah awal seminggu. Tapi itulah… kalau tarikh nikah aku tak ubah, tak pasal-pasal kita dah langgar pantang larang korban tu," tulisnya.

Individu yang melakukan korban perlu menjaga pantang larang apabila masuknya 1 Zulhijah sehingga haiwan korban masing-masing disembelih. -Gambar hiasan

Memetik laman portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menghilangkan rambut atau kuku pada badan bagi orang yang melaksanakan korban adalah makruh. 

Larangan menghilangkan bulu ini tidak hanya tertumpu kepada rambut sahaja bahkan ia meliputi seluruh bulu yang terdapat pada badan si pelaksana korban.

Oleh itu, orang yang ingin melaksanakan ibadah korban disunatkan untuk tidak menghilangkan segala bulu yang ada pada badannya dan kuku dengan apa jua cara yang boleh menghilangkannya demi meraih pahala sunat amalan itu.

Ini bermakna, perkara tersbut bukanlah bersifat larangan secara mutlak hingga membawa hukum haram, tetapi peserta ibadah korban disunatkan untuk berbuat sebegitu.

Sungguhpun demikian, tambah wanita berkenaan, dia terkilan kerana perkara tersebut dilakukan tanpa persetujuan daripadanya terlebih dahulu. 

"Raya korban setahun sekali. Kita pun bukan dapat jadi pencarum tiap tahun so kita nak la buat yang terbaik kan.

"Sepatutnya dia tanya dulu is it okay kalau nak cukur ke apa. Tapi ini dia dah start cukur baru dia beritahu," tulisnya lagi sambil menambah, hantarannya dibuat bertujuan untuk berkongsi pengalaman agar dapat diambil panduan oleh mereka yang bakal melaksanakan ibadah korban.

Sebagai panduan bersama, selain menghilangkan bulu dan kuku di badan, mereka yang melaksanakan ibadah korban disarankan untuk tidak melakukan perbuatan-perbuatan berikut sebaik memasuki bulan Zulhijah:

1. Memberi upah daging korban kepada penyembelih

2. Tidak dibenarkan memberi makan daging korban nazar dan tidak boleh berikan daging korban kepada orang bukan Islam.

3. Haram menjual kulit, lemak dan lain-lain organ atau anggota

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia