MUNGKIN ramai yang beranggapan sisa-sisa binatang korban perlu ditanam.
Namun menurut pendakwah Dr Kamilin Jamilin, tiada dalil khusus yang mewajibkan ia ditanam.
Selain ditanam, sisa korban juga boleh dibuang untuk mengekalkan kebersihan persekitaran.
"Boleh saja buang sebab tak ada dalil yang suruh kita tanam, tapi ada sebahagian daripada salafus-soleh dulu mereka galakkan dan mereka juga tanam sisa-sisa haiwan korban.
"Tapi bukanlah sebab haiwan korban tu istimewa atau ada kelebihan khusus dan tiada ancaman kalau buang kena sekian-sekian... ia lebih kepada sudut adab, iaitu adab dalam kita menjaga kebersihan.
"Sebab kalau kita buang merata-rata, tak berhati-hati, mungkin akan mengganggu kebersihan. Contohnya mungkin datangkan bau, berulat, bersepah," ujarnya menerusi hantaran video di Facebook.
Kamilin berkongsi tentang pengurusan sisa binatang korban menerusi Facebook.
Menurut Kamilin lagi, pengurusan sisa yang baik juga mencerminkan sikap orang Islam itu sendiri dalam melaksanakan ibadah korban.
"Tapi bila kita buang merata-rata, macam kita tak menghormati ataupun kita tidak meraikan adab tersebut.
"Ia akan menunjukkan kita umat Islam ni tak pandai untuk menjaga syiar Islam kita, sebab korban ni syiar Islam," jelasnya lagi.
Dalam perkongsian sama, Kamilin berkata terdapat hadis yang menyebut perihal tulang yang menjadi makanan jin.
"Lagi satu, daripada sudut kita nak mengelakkan daripada jin datang berkendurilah. Sebab ada riwayat dalam Bukhari yang mengatakan tulang adalah makanan jin. Jadi kita tak mahu kawasan itu menjadi tempat kenduri, tempat bertandang jin.
"Jadi kalau kita ada sisa haiwan korban, yang kita tak boleh nak manfaatkan, kulit, usus, tulang dan sebagainya, seeloknya kalau kita tak mampu nak tanam, tiada kawasan, kita bungkus elok-elok dan buang di tempat yang sepatutnya," pesannya lagi.