WARNA hitam sering dikaitkan dengan amalan berkabung dan penghormatan terhadap mereka yang telah meninggal dunia.
Dalam kebanyakan budaya, memakai pakaian berwarna hitam ketika menghadiri majlis pengebumian adalah satu cara untuk menunjukkan rasa hormat dan kesedihan kepada keluarga yang ditinggalkan.
Namun, bagaimana pula hukumnya bagi orang beragama Islam yang memakai pakaian hitam ketika menghadiri pengebumian atau acara berkaitan kematian?
Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, memakai warna hitam ketika menghadiri pengebumian adalah diharuskan kerana ia tidak mengandungi unsur menyerupai agama lain.
Walaupun sebahagian ulama mazhab Syafi’i berpendapat pemilihan warna pakaian tertentu seperti hitam, boleh dikaitkan dengan ratapan dalam konteks kematian, namun uruf di Malaysia tidak melihatnya sedemikian.
Huraian jawapan
Menurut sejarah, pakaian hitam ketika pengebumian dimulakan oleh Ratu Victoria pada tahun 1861 iaitu saat kemangkatan suaminya Prince Albert.
Orang ramai perlu menjaga pemakaian ketika menziarahi kubur. -Gambar hiasan
Ratu Victoria mengenakan pakaian ini sebagai tanda kesedihan dan memakainya sehinggalah ke akhir hayat pada 1901.
Ia kemudiannya menjadi ikutan dalam kalangan masyarakat Eropah.
Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Awail ila Musamarah al-Awail pula menyatakan ketika Marwan al-Umawi membunuh Ibrahim ibn Muhammad al-Imam, masyarakat Abbasiyah mula memakai pakaian hitam sebagai tanda kesedihan.
Pada zaman Bani Umaiyyah, masyarakat memakai pakaian putih ketika kemangkatan raja bagi membezakan mereka dengan Bani Abbasiyyah yang memakai pakaian berwarna hitam.
Memakai pakaian yang berwarna hitam ketika pengebumian tidak menjadi pakaian keagamaan yang khusus untuk mana-mana agama.
Sebaliknya, memakai warna-warna tertentu berbeza-beza mengikut kepada uruf setempat.
Justeru itu, ia tidak termasuk dalam larangan menyerupai agama lain.