RAMAI yang berusaha untuk khusyuk dalam solat, tetapi masih sukar untuk fokus sepenuhnya.
Maka, ada dalam kalangan kita memejam mata ketika solat bagi memastikan fikiran tidak terganggu dengan hal sekeliling.
Namun, apakah hukumnya menunaikan solat dalam keadaan mata tertutup untuk tujuan lebih khusyuk?
Menurut laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, kita disunatkan untuk memandang ke arah tempat sujud semasa solat.
Ini berdasarkan beberapa riwayat seperti disebutkan oleh Imam Ibn Hajar yang menukilkan kenyataan Muhammad Ibn Sirin:
Mereka dahulu (para sahabat) berpaling-paling dalam solat mereka sehinggalah turunnya firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Telah berjayalah golongan yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk di dalam solat mereka. [Surah Al-Mu’minuun]
Maka mereka pun beralih semula ke arah solat mereka (iaitu solat dengan tekun) dan melihat ke arah hadapan mereka.
Dan mereka menggalakkan untuk salah seorang mereka tidak melepasi pandangan mereka dari tempat sujud mereka. [Fath Al-Bari, Ibn Hajar]
Ada individu yang tidak berjaya khusyuk dalam solat kerana mudah terganggu dengan hal-hal sekeliling. -Gambar hiasan
Riwayat di atas seakan memberikan makna kepada kita bahawa ciri-ciri solat yang khusyuk itu dilakukan dalam keadaan tidak berpaling ke kiri dan ke kanan, melihat ke atas, dan seumpamanya.
Lalu para sahabat pun memandang ke tempat sujud sahaja.
Ia memberi isyarat bahawa kekhusyukan itu terhasil apabila mereka yang sedang solat memandang ke tempat sujud.
Perbuatan memejamkan mata semasa solat pula dihukumkan sebagai makruh di sisi sebahagian fuqaha kerana bercanggah dengan galakan memandang ke tempat sujud.
ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga makanan tak tutup aurat... Pelanggan Islam perlu tahu soal hukum sebelum beli
ARTIKEL BERKAITAN: Berpakaian hitam ketika pengebumian, acara kematian... Ini penjelasan dan hukum dalam Islam
Mereka berhujah dengan menggunakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu berdiri di dalam solatnya maka janganlah dia memejamkan matanya. [Riwayat Al-Thabrani]
Imam Ibn Al-Qayyim ketika mengulas hadis-hadis sebegini berkata baginda S.A.W tidak memejamkan matanya di dalam solat.
Para fuqaha telah berbeza pandangan akan kemakruhannya.
Imam Ahmad dan selainnya berpendapat bahawa makruh menutup mata di dalam solat.
Para ulama lain pula membolehkannya dan tidak memakruhkan perbuatan tersebut.
Mereka berpendapat, boleh jadi ia lebih hampir kepada menghasilkan kekhusyukan yang merupakan inti solat, roh, serta maksud sebenar solat.
Kesimpulan
Sebagai penutup kami menyatakan hukum memejam mata di dalam solat pada asalnya adalah makruh kerana bercanggah dengan tuntutan memandang ke tempat sujud.
Meskipun begitu, sekiranya didapati dengan memejam mata akan lebih membantu untuk fokus dan khusyuk di dalam solat, maka ianya dibolehkan dan kadangkala menjadi lebih utama.