suria

Peniaga makanan tak tutup aurat... Pelanggan Islam perlu tahu soal hukum sebelum beli

Peniaga yang berwajah cantik boleh menarik kehadiran ramai pelanggan lelaki. -Gambar hiasan AI

MENUTUP aurat merupakan tuntutan penting dalam Islam yang melambangkan ketaatan kita kepada Allah. 

Ia bukan sekadar soal pakaian, tetapi mencerminkan maruah, kesopanan dan identiti seorang Muslim.

Namun, apakah pula hukumnya jika pelanggan beragama Islam membeli makanan daripada penjual yang tidak menutup aurat?

Menurut laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat banyak dalil syarak daripada al-Quran dan juga al-Sunah supaya seseorang muslim itu memakan makanan yang halal lagi baik.

Ini seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya:

Maksudnya: Wahai sekalian manusia, makanlah kamu dari (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik. [Surah al-Baqarah]

Maka, ia menjadi satu kewajipan ke atas seorang muslim untuk memakan makanan yang halal dan baik sepanjang kehidupannya di atas muka bumi.

Hukum membeli dan memakan makanan yang dijual oleh pelaku maksiat

Dalam isu ini, nas-nas syarak tidaklah menunjukkan  hukumnya secara terperinci melainkan panduan asas dalam pemakanan.

Dalam soal ini, kita hendaklah makan makanan halal lagi baik tanpa melihat kepada siapa yang memasak dan menjualnya.

Pelanggan perlu memilih gerai yang bersih dan tidak meragukan sebelum membeli makanan. -Gambar hiasan AI

Terdapat beberapa pendapat para fuqaha’ yang menceritakan soal memakan makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam. 

Maka, tidak menjadi kesalahan bagi seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan muslim dari susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka.

Imam Qatadah Rahimahullah berkata:

Maksudnya: Tidak mengapa (tiada masalah) untuk memakan makanan orang Majusi selain dari sembelihannya. [Riwayat Abd al-Razzaq di dalam Musannaf]

Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah di dalam tafsirnya:

Maksudnya: Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan  golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kuffar selama mana ia (makanan) bukan dari sembelihan mereka. [Lihat Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi]

Ini menunjukkan bahawa memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam adalah dibolehkan. 

Justeru, makanan yang disediakan oleh golongan fasiq atau pelaku maksiat juga adalah boleh untuk dimakan selama mana makanan itu halal lagi baik.

Kesimpulan

Perbuatan membeli dan memakan juadah yang disediakan oleh para peniaga yang tidak menutup aurat adalah dibolehkan menurut syarak selama mana makanan yang disediakan itu adalah halal lagi baik menurut aspek penyediaan, kebersihan, dan juga tempat jualan.

Namun, sekiranya seseorang itu atas dasar waraknya dia dalam menjaga keperibadian dirinya, dan memilih untuk tidak membeli makanan daripada para peniaga yang mendedahkan aurat, maka ini adalah dibolehkan kepada dirinya tanpa melarang orang lain berbuat begitu.

Ia bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Artikel Lain