suria

Diterima bekerja sebab bantuan 'orang dalam', berkat ke gaji? Ini hukum, penjelasan minta kerja guna ‘kabel’

Setiap individu perlu berlaku jujur dalam dunia pekerjaan. -Gambar hiasan AI

DALAM dunia pekerjaan hari ini, memang ada individu yang menggunakan 'kabel' bagi mendapat tempat dalam sesebuah syarikat atau organisasi.

Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, isu ini sebenarnya boleh dilihat daripada perspektif yang berbeza.

Perspektif yang pertama adalah melalui cara yang dibenarkan. Contohnya, majikan memilih pekerja kerana mengenali atau tahu individu itu datang daripada keluarga miskin dan pada masa sama mempunyai nilai kompetensi serta kelayakan bersesuaian. 

Perspektif yang kedua pula adalah melalui sogokan, rasuah atau atas dasar kenal semata-mata seperti ahli keluarga atau sahabat karib tanpa sebarang nilai kompetensi atau kelayakan. 

Maka inilah contoh yang buruk dan haram dilakukan kerana ia telah menzalimi mereka yang berhak.

Firman Allah SWT, maksudnya: 

“Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Surah al-Nisa’]

Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan syafaat atau pertolongan terbahagi kepada dua iaitu baik dan buruk. 

Pekerja yang tidak layak juga boleh diterima bekerja jika menggunakan bantuan 'orang dalam' sesebuah syarikat. -Gambar hiasan AI

Syafaat yang baik seperti mengambil berat hak-hak seorang Muslim dengan cara menghindarkannya daripada bahaya, atau mendorongnya ke arah kebaikan dengan niat ikhlas demi Allah serta tidak mengambil sogokan atau rasuah. 

Maka pertolongan seperti ini adalah diharuskan kecuali menolong orang untuk meringankan hukuman had atau melanggar hak orang lain.

Syafaat atau pertolongan yang buruk pula adalah berlawanan dengan syafaat yang baik. 

Antara contoh sekarang seperti orang tengah atau pertolongan dalam perkara keburukan dengan cara menyogok menggunakan wang dan harta, untuk menafikan hak orang lain atau mengambil harta orang lain.

Kesimpulan

Dapat disimpulkan terdapat dua jenis ‘kabel’ iaitu yang pertama yang dibuat atas dasar telah saling mengenali dan bertujuan membantu, pada masa yang sama individu berkenaan mempunyai kompetensi yang bersesuaian. 

Maka ‘pertolongan’ yang sebegini adalah harus dan dibenarkan. 

Sementara kategori yang kedua iaitu ‘pertolongan’ dengan cara sogokan atau apa-apa bentuk favouritisme atas dasar ahli keluarga atau sahabat karib yang tidak berasaskan kompetensi. 

Maka inilah jenis yang diharamkan kerana ia menzalimi hak orang lain dan boleh menyemai budaya kerja tidak sihat dan pelbagai kemudaratan yang lain.

 

 

Artikel Lain