suria

Minta lampu isyarat sentiasa hijau, dapat makan sedap-sedap... Bolehkah kita berdoa perkara remeh kepada Allah?

Meminta dan berdoa perkara-perkara yang kecil dan remeh kepada Allah merupakan satu anjuran yang dipesan oleh Nabi Muhammad kepada umat Baginda. -Gambar hiasan

SEBUT tentang doa, kita sebagai hamba sering memohon kepada Allah agar dipanjangkan usia, dilimpahkan rezeki dan diampunkan dosa.

Namun, ada juga antara kita berdoa memohon perkara kecil yang mungkin nampak remeh di mata orang lain, tetapi amat bermakna bagi diri sendiri.

Contohnya, berdoa agar diberi peluang menikmati makanan enak di restoran mewah, meminta lampu isyarat sentiasa hijau dan sebagainya.

Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan

Allah berfirman:

"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." [Surah Ghafir]

Ayat ini merupakan jaminan daripada Allah SWT, bahawa Dia akan mengabulkan setiap permintaan hamba-Nya yang berdoa.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

Hendaklah kalian berdoa dan meminta kepada Allah SWT segala hajatnya, hatta jika ingin meminta garam atau tali kasutnya apabila ia terputus. [Jami’ Tirmizi] 

Muslim recite the doa before Friday prayer at Al-Imam Ash-Shafie mosque in Taman Maluri during the Recovery Movement Control Order on Friday. AZMAN GHANI / The Star

Umat Islam perlu sentiasa berdoa kepada Allah. -Gambar hiasan

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri sewaktu mensyarahkan hadis ini, menyatakan bahawa milik Allah seluruh khazanah kekayaan, dan tiada Pemberi selain-Nya; maka mintalah apa sahaja dari-Nya hatta perkara-perkara yang ringan, kecil dan remeh. 

Sesungguhnya jika Allah SWT tidak memudahkan suatu urusan, nescaya ia tidak akan menjadi mudah untuk kita mendapatkannya.

Kesimpulan

Tuntasnya, meminta dan berdoa perkara-perkara yang kecil dan remeh kepada Allah SWT bukan setakat dibolehkan, bahkan ia sebenarnya satu anjuran yang dipesan oleh Nabi SAW kepada umat Baginda.

Permintaan kita kepada Allah SWT hatta dalam sekecil-kecil perkara juga menunjukkan betapa tingginya pergantungan kita kepada-Nya.

Ini menunjukkan bahawa sebagai hamba, kita sebenarnya tidak akan pernah mampu berlepas diri daripada Allah hatta sesaat, dan kita akan sentiasa memerlukan pertolongan dan ‘inayah dari-Nya.

Artikel Lain