SAWAN adalah keadaan yang boleh berlaku secara tiba-tiba dan sering menimbulkan panik dalam kalangan orang sekeliling.
Lebih-lebih lagi jika mereka tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang cara menanganinya.
Keadaan ini mungkin nampak menakutkan, tetapi penting untuk kita bertindak dengan betul bagi memastikan keselamatan individu yang diserang sawan dan tidak mengalami kecederaan.
Menurut seorang doktor perubatan, Dr Muaz Radzuan terdapat banyak salah faham mengenai cara menangani sawan.
Ini termasuk tindakan yang berbahaya seperti menahan pergerakan individu yang terkena sawan atau memasukkan objek ke dalam mulut mereka.
Oleh itu, penting untuk mengetahui langkah-langkah yang betul bagi menangani situasi ini dengan tenang dan berkesan.
Serangan sawan berlaku dalam masa satu hingga dua minit. -Gambar hiasan
Langkah-langkah betul menangani sawan
1. Jangan panik, biarkan sawan selesai sendiri
Kebanyakan sawan akan berakhir dalam masa satu hingga dua minit.
Jangan cuba menahan atau menggoncang individu yang sedang sawan kerana ini boleh menyebabkan kecederaan.
2. Letakkan individu dalam posisi mengiring
Setelah sawan berhenti, baringkan individu tersebut dalam posisi mengiring.
Posisi ini penting untuk memastikan laluan pernafasan tidak tersekat dan mengurangkan risiko tercekik akibat air liur atau muntah.
3. Jangan masukkan objek ke dalam mulut
Tindakan memasukkan sudu, kain atau jari ke dalam mulut boleh menyebabkan kecederaan pada gigi dan rahang.
Individu yang mengalami sawan tidak akan menggigit atau menelan lidah mereka seperti tanggapan ramai.
4. Pastikan kawasan sekitar selamat
Jauhkan individu daripada objek tajam atau permukaan keras yang boleh menyebabkan kecederaan semasa sawan berlaku.
Jika boleh, letakkan sesuatu yang lembut di bawah kepala untuk mengurangkan impak hentakan.
5. Dapatkan bantuan perubatan
Jika sawan berlarutan lebih dari lima minit atau individu tidak sedarkan diri selepas sawan berhenti, segera dapatkan bantuan perubatan.
Bawa individu ke klinik atau hospital terdekat untuk pemeriksaan lanjut.