HIDANGAN koi pla mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan apabila ia dikaitkan dengan risiko kanser hati.
Ia merupakan makanan tradisional popular di wilayah Khon Kaen dan kawasan timur laut Thailand.
Koi pla diperbuat daripada ikan mentah yang dicampur dengan herba, rempah ratus dan jus limau.
Namun tanpa proses memasak yang betul, ikan mentah tersebut berpotensi membawa parasit yang dikaitkan dengan kanser hati.
Menurut laporan BBC, kawasan di Thailand yang kerap mengamalkan pemakanan koi pla mencatat kadar kes kanser hati yang luar biasa tinggi.
Kajian menunjukkan bahawa dalam sesetengah komuniti, sehingga 80 peratus penduduk didapati membawa parasit yang boleh mencetuskan penyakit berbahaya ini.
Malangnya, kanser hati lazimnya hanya dikesan apabila pesakit mencapai usia 50 tahun ke atas.
Koi pla adalah hidangan tradisional terkenal di Thailand. -Foto Sanook
Lebih membimbangkan, imbasan X-ray pesakit menunjukkan kesan buruk daripada pengambilan koi pla, malah kanak-kanak seawal usia empat tahun juga telah dikesan membawa parasit ini.
Kajian mendapati bahawa parasit ini menghasilkan bahan kimia yang boleh merangsang sistem imun badan, menyebabkan keradangan kronik yang akhirnya berpotensi berkembang menjadi kanser.
Walaupun risiko kesihatan yang tinggi, masih ada segelintir individu yang enggan mengubah cara penyediaan makanan mereka.
Mereka berpendapat bahawa memasak ikan yang merupakan kaedah paling berkesan untuk membunuh parasit akan mengurangkan rasa asli hidangan tersebut.
Namun, ramai yang berpendapat bahawa risiko serius kanser hati lebih berat berbanding kepuasan menikmati makanan ini.
Dalam usaha untuk menyelamatkan nyawa, pakar kesihatan menggesa masyarakat agar lebih berhati-hati dan mempertimbangkan kaedah penyediaan makanan yang lebih selamat. -Agensi