AMALAN berpuasa yang telah dipraktikkan oleh umat Islam sejak 1,400 tahun lalu sudah jelas terbukti memberi manfaat kepada kesihatan rohani dan fizikal.
Buktinya, bukan sahaja orang Islam yang mengamalkan puasa tetapi ia turut diamalkan oleh orang bukan Islam pada hari ini.
Menurut pakar biologi sel Jepun, Dr Yoshinori Ohsumi, berpuasa bukan sekadar memberikan masa untuk sistem pencernaan berehat malah ia turut mengaktifkan autofagi atau proses pembersihan semulajadi badan.
Untuk rekod, Dr Yoshinori adalah pemenang Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan pada 2016 untuk kajiannya mengenai bagaimana sel-sel melakukan kitar semula dan memperbaharui kandungannya, satu proses yang dianggil autofagi.
Kajian ini secara tidak langsung bermaksud amalan berpuasa akan mengaktifkan autofagi, yang membantu memperlahankan proses penuaan dan mempunyai kesan positif ke atas pembaharuan sel.
Apa itu autofagi?
Apabila pengambilan makanan berhenti buat seketika, sel-sel mula memecahkan komponen yang rosak atau tidak diperlukan bagi dikitar semula menjadi tenaga.
Proses ini membantu mengeluarkan toksik yang terkumpul, mempengaruhi kesihatan metabolik dan juga menurunkan risiko penyakit kanser serta gangguan neurodegeneratif seperti Alzheimer.
Sekatan kalori ketika berpuasa bantu mengurangkan risiko penyakit.
Antara manfaat berpuasa dan autofagi:
1) Mengurangkan keradangan
Puasa boleh menurunkan tahap keradangan dan menyumbang kepada kesihatan keseluruhan tubuh sekali gus menurunkan risiko penyakit kronik.
2) Meningkatkan fungsi otak
Autofagi berperanan dalam kesihatan neuron (saraf), membantu membersihkan protein toksik dan boleh mengurangkan risiko penyakit seperti Alzheimer dan Parkinson.
3) Mencegah kanser
Proses mengitar semula komponen sel semasa autofagi boleh membantu merencatkan perkembangan kanser dengan menghapuskan sel rosak yang berisiko membentuk tumor.
4) Memanjangkan jangka hayat
Sekatan kalori ketika berpuasa meningkatkan jangka hayat individu. Ini kerana kesihatan badan bertambah baik, mengurangkan tekanan pada sel dan mengaktifkan proses pembaikan.