TEMBIKAI merupakan buah yang begitu popular kerana tinggi kandungan air dan bagus untuk menghidrasikan tubuh yang lesu.
Kebiasaannya, tembikai dimakan bersama biji halus yang terdapat di dalamnya.
Namun sesetengah individu akan membuang biji tersebut kerana rasanya yang sedikit pahit.
Menerusi perkongsian di TikTok, pakar perubatan dan juga pengasas susu Efferty, Dr Raihana Ismail berkata, biji tembikai yang dimakan selama 21 hari akan memberi banyak khasiat kepada tubuh kerana mengandungi pelbagai nutrisi.
Malah katanya, ia membantu tubuh yang memerlukan sokongan hormon dan tenaga.
"Hari pertama hingga ketujuh, badan mula menyerap nutrien tersembunyi... biji tembikai kaya zink, magnesium, protein dan asid lemak baik.
"Apabila diamalkan setiap hari terutama kalau dikunyah atau dikisar halus, kulit akan rasa lebih lembab dan kurang lesu, pencernaan menjadi lebih lancar.
Khasiat biji tembikai boleh diperoleh dalam tempoh 21 hari.
"Hari kelapan hingga 14, hormon dan sistem dalaman badan mula kembali seimbang, magnesium dan zink bantu stabilkan hormon.
"Sesuai sangat untuk wanita yang cuba untuh hamil (TTC) atau mengalami masalah period tidak teratur," jelasnya.
Tambah beliau, ia juga membantu golongan lelaki kerana zink dapat membantu meningkatkan kualiti dan bilangan sperma.
"Sistem imum menjadi lebih kuat terutama kalau anda selalu rasa letih atau hidung sensitif.
"Hari ke-15 hingga 21, kesan anti radang mula dirasai. Lemak baik dalam biji tembikai bantu kurangkan keradangan dalam badan... badan rasa lebih ringan dan tidur lebih lena.
"Jika anda ada masalah kulit atau jerawat halus, ekzema ringan, mungkin nampak perubah sedikit. Fungsi ginjal juga disokong dan badan lebih mudah detoks semula jadi," tambahnya.
Bagaimanapun, ujar Dr Raihana, kesan lebih mujarab jika biji tembikai dikunyah atau dikisar mahupun dipanggang sebelum makan.
Malah katanya, ia tidak boleh dimakan berlebihan sebaliknya hanya satu hingga dua sudu besar sehari.